suria

Najib Sindir Pembangkang Pakar Putar Belit

KUALA LUMPUR: Pembangkang memang pakar putar belit yang suka memanipulasi sesuatu isu untuk keuntungan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil menyindir pembangkang apabila berucap di khalayak pada Persidangan Perwakilan Gerakan Kebangsaan ke-40 di Menara PGRM di sini, Ahad, beliau berkata pembangkang suka menyalahkan kerajaan dalam semua perkara termasuk apa yang tidak dilakukannya, sebagai contoh, menuduh kerajaan menipu dalam sistem daftar pemilih.

"Mereka suka mengatakan Barisan Nasional (BN) memanipulasi daftar pemilih. Kenapa dia tak persoal (kemenangan DAP) di Pulau Pinang.

"Jika kita mahu memanipulasi daftar pemilih, adakah anda fikir kita akan membiarkan mereka menawan Pulau Pinang atau Selangor?" katanya.

Kenyataan beliau menerima respons serentak "tidak sama sekali" daripada perwakilan tetapi dalam nada berseloroh beliau membalas "Saya lakukan ikut cara saya".

Najib yang juga Pengerusi BN berkata beliau akan membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan BN ialah sebuah kerajaan yang berkhidmat dan mengotakan janji.

"Kita kena buktikan bila kita cakap transformasi, kita lebih baik daripada reformasi," katanya.

Katanya, beliau juga komited untuk merealisasikan semua program transformasi yang dilaksanakan bagi membawa Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi.

Katanya, rakyat juga mulai melihat agenda-agenda transformasi yang dilakukan kerajaan mula membuahkan hasil yang memanfaatkan mereka.

"Saya percaya BN hari ini mendapat sambutan yang lebih baik dari hari-hari sebelumnya. Rakyat mula dapat lihat perubahan yang dijalankan.

"Sebagai pemimpin anda, saya akan penuhi permintaan rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, Najib ditanya mengenai dakwaan pembangkang bahawa dua akta yang bakal digubal untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), juga akan menyerupai akta yang telah dimansuhkan itu.

"Tunggu, kita akan buktikan mereka salah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain