suria

Dr Koh Minta Anggota Gerakan Terima Calon Yang Akan Bertanding Dalam PRU13

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon meminta semua anggota parti supaya menerima calon yang diputuskan pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Koh berkata Gerakan telah memulakan proses penilaian calon untuk pilihan raya itu dengan menemuduga mereka yang berpotensi sejak setahun lepas.

"Pada pilihan raya nanti, pemilihan calon adalah sangat penting. Pihak kepimpinan parti telah pun memulakan proses penilaian dengan mewancara calon berpotensi semenjak setahun yang lalu.

"Kita telah dan akan sentiasa memberi peluang yang adil kepada semua yang berminat menjadi calon dengan fikiran yang terbuka," katanya ketika menyampaikan ucapan Presiden pada Persidangan Perwakilan Nasional ke-40 2011, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Menara PGRM di sini, Ahad.

Dengan nada bersemangat, Koh kemudian bertanya kepada perwakilan sama ada mereka menerima atau tidak pemilihan calon oleh pucuk pimpinan parti nanti.

"Jadi, anda semua sedia untuk menerima keputusan itu? Anda semua sedia untuk menyokong keputusan itu?" katanya.

Laungan pertanyaan Koh itu disahut dengan jawapan "Ya" oleh perwakilan yang berada di Dewan Wawasan disaksikan Najib.

Koh berkata apabila keputusan muktamad mengenai calon dibuat, anggota parti itu perlu menerimanya dengan semangat Satu Hati, iaitu slogan parti itu.

Beliau berkata sebagai presiden parti, beliau akan membuat keputusan pemilihan calon pilihan raya dengan pertimbangan sewajarnya.

"Sebagai presiden, saya akan membuat keputusan sepenuhnya dengan mengutamakan kepentingan parti dan saya pasti akan sama-sama berjuang dengan anda semua," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain