suria

Suspek Bunuh Dan Rogol Tujuh Tahun Lepas Direman Sejak Dua Hari Lalu

KUALA LUMPUR: Seorang suspek kes rogol dan bunuh yang melarikan diri daripada tahanan tujuh tahun lalu, kini ditahan reman sejak dua hari lepas, kata polis.

"Lelaki itu ditahan selepas terlibat dalam kes melarikan sebuah kereta mewah baru-baru ini. Dia kini direman selama tujuh hari," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah.

Mohd Adnan berkata, lelaki terbabit menggunakan identiti baru dan kad pengenalan palsu bagi mengelak daripada dikesan.

Beliau berkata, lelaki berusia 37 tahun itu disyaki merogol dan membunuh See Sheau Fang, 18, pada 26 Februari 2004 dan menanam mayat gadis itu di dalam lubang bersimen di hadapan rumahnya di Taman Perwira, Banting.

"Selepas lima hari ditahan, suspek melarikan diri menerusi siling tandas di Balai Polis Tanjung Sepat pada 13 Mac 2004," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Adnan berkata, selain kes bunuh, rogol dan lari dari tahanan, lelaki itu juga pernah terlibat dalam kes peras ugut pada tahun 1999. - BERNAMA

Artikel Lain