suria

Rakyat Myanmar Ditemui Mati Di Kawasan Puduraya

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Myanmar mati selepas dipercayai dipukul menggunakan kerusi kanak-kanak oleh dua lelaki di sebuah kedai makan di kawasan Puduraya awal hari ini.

Mayat lelaki berumur 29 tahun yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR) itu ditemui kira-kira 20 meter dari kedai makan itu dengan kesan cedera parah di kepala dan muka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komsioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, hasil siasatan polis berpandukan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu mendapati lelaki itu dikejar dua lelaki berusia awal 20-an.

"Dalam kejadian pada pukul 12.45 pagi itu, mangsa dikejar dari luar kedai dan memasuki kedai makan itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Sabtu.

Zulkarnain berkata, seorang daripada suspek ditahan oleh polis peronda yang kebetulan membuat rondaan di kawasan itu, manakala seorang lagi melarikan diri.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan memnta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain