suria

Pencapaian IPG Perlu Merentasi Tahap Cemerlang: Muhyiddin

SEREMBAN: Semua Institut Pendidikan Guru (IPG) seluruh negara perlu meletakkan sasaran lebih tinggi daripada biasa dan tidak cukup hanya dengan tahap cemerlang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Beliau berkata jika institusi lain meletakkan sasaran cemerlang sebaliknya IPG perlu lebih tinggi daripada sasaran itu untuk merealisasikan usaha melahirkan modal insan dan tenaga kerja yang berkualiti, terlatih, berilmu dan berkemahiran.

"Tidak cukup dengan hanya cemerlang sahaja jika penanda arasnya 100 peratus, ia perlu lebih tinggi daripada itu seperti 110 (peratus) misalnya.

"Ini kerana peranan IPG amat penting sekali untuk membantu melahirkan tenaga pengajar berkemahiran dan berkualiti, sekaligus membantu menjana modal insan yang mempunyai kemahiran, terdidik dengan akhlak dan sahsiah yang baik," katanya semasa menyampaikan amanat sempena lawatan kerja ke IPG Kampus Raja Melewar di sini, Sabtu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata usaha ini penting memandangkan Malaysia hanya mempunyai 23 peratus tenaga mahir daripada keseluruhan tenaga kerja di semua sektor pekerjaan.

Sementara itu, dalam sesi dialog akademik, Muhyiddin berkata Kementerian Pelajaran tidak mengamal sikap pilih kasih sebaliknya apa sahaja pengiktirafan yang diberikan adalah berdasarkan kepada pencapaian setiap sekolah.

"Adalah tidak adil untuk membuat sebarang tuduhan, tetapi sekiranya ada bukti jelas mengenai sistem yang dibuat kementerian telah dimanipulasi sila kemukakan dan saya sendiri akan selidik," katanya sebagai menjawab pertanyaan mengenai wujudnya sikap pilih kasih antara Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Menengah Harian.

Dalam sesi soal jawab itu juga, Muhyiddin berkata kementerian bersedia untuk mengkaji cadangan hanya calon yang peratusan kedatangan sekolah mencapai 80 peratus sahaja dibenarkan menduduki peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebelum itu, Muhyiddin turut melancarkan Kebitaraan Sukan IPG Kampus Raja Melewar, Kampus Tun Abdul Razak, Sarawak dan IPG Kampus Perlis sebagai penggerak Dasar 1Murid 1Sukan.

Objektif IPG Sukan itu bermatlamat supaya setiap guru pendidikan Jasmani yang dilahirkan bakal memiliki sekurang-kurangnya tiga sijil kejurulatihan, kepegawaian dan pengadilan daripada badan-badan sukan bertauliah.

Dalam ucapannya Muhyiddin berkata usaha itu selain dapat membina sahsiah dan kesejahteraan hidup serta memartabatkan sukan negara, ia juga dapat mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah sebagaimana pada tahun 60-an dan 70-an.

"Pada waktu itu acara sukan yang diadakan di sekolah begitu meriah, sekarang ini agak kurang meriah sebab itu saya suarakan Dasar 1Murid 1Sukan,untuk mengembalikan semula kecemerlangan dan kemeriahan sukan di sekolah seluruh negara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain