GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.Ismail berkata, beliau telah mengarahkan semua kontinjen negeri memberikan latihan kepada pegawai polis di kontinjen masing-masing untuk menghadapi pilihan raya. "Kami menunggu sahaja, kalau pihak kerajaan mengumumkan pilihan raya pada bila-bila masa, Insya-Allah kami sudah bersedia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Setia 2010 Polis Bantuan Peladang (Upstream) Malaysia anjuran Sime Darby Plantation Sdn Bhd di sini, Sabtu.Beliau berkata, latihan-latihan yang diberikan kepada pegawai-pegawai polis khususnya anggota polis baru adalah untuk meningkatkan keupayaan mereka terutama dalam menjaga tempat pengundian semasa pilihan raya."Tugas-tugas ketika pilihan raya ini lebih spesifik dan setiap pegawai polis harus memainkan peranan mereka bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin," katanya. - BERNAMA