suria

Kanak-Kanak Disyaki Mangsa Dera Masih Dirawat Di HKL

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang disyaki mangsa dera masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini.

Kes kanak-kanak itu, yang diselamatkan dan dimasukkan ke HKL sejak Isnin lepas, mendapat perhatian Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe yang melawatnya di hospital itu pada Jumaat.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu, Tan berkata kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa dera seorang anggota keluarganya itu akan ditempatkan di rumah perlindungan selepas keluar dari hospital.

"Mangsa tidak mahu kembali semula ke rumahnya selepas ini dan dia juga ada menceritakan, akibat terlampau takut, dia pernah berhasrat melarikan diri dari rumah," kata Tan, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Tan berkata menurut polis, kanak-kanak itu dipercayai telah didera beberapa kali sebelum satu laporan polis dibuat seorang anggota Wanita Gerakan di Balai Polis Jinjang, Isnin lepas.

"Jiran tetangga telah melaporkan kepada kami (Wanita Gerakan) selepas melihat mangsa didera sebelum laporan polis dibuat," kata Tan.

Selain itu, Tan berkata beliau dimaklumkan pihak hospital bahawa mangsa kemungkinan didera dengan objek tajam berdasarkan beberapa kesan luka di peha, muka dan betis.

Tan berkata polis sedang menyiasat kes itu dan cuba mengesan suspek berumur 34 tahun yang tidak bekerja dan dipercayai melarikan diri.

Beliau turut menasihatkan sesiapa yang mempunyai masalah keluarga dan tekanan hidup supaya mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Tan menyampaikan sumbangan hamper berupa makanan dan mainan kepada mangsa terbabit. - BERNAMA

Artikel Lain