suria

Bayi Baru Lahir Disumbat Dalam Pam Tandas

KUALA TERENGGANU: Seorang gadis bertindak nekad menyembunyikan bayi lelaki yang baru dilahirkannya dalam pam tandas di sebuah asrama pekerja di Bandar Cukai, Kemaman awal pagi ini untuk mengelakkan ia diketahui oleh rakan-rakannya.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, gadis berusia 23 tahun yang bekerja di sebuah kedai buku di situ dilaporkan turut bertindak membuang uri dan tali pusat ke dalam lubang tandas.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Abdullah Sani Salat berkata, bagaimanapun tangisan bayi seberat tiga kilogram itu telah didengari oleh rakan seasrama gadis berkenaan. Mereka yang curiga dengan bunyi tersebut kemudian menemui tompokan darah menuju ke bilik air dan menjumpai gadis berkenaan dalam keadaan lemah namun gagal menemui bayi berkenan.

"Bagaimanapun setelah didesak oleh rakan-rakannya, akhirnya dia mengakui telah melahirkan seorang bayi lelaki dan menyembunyikannya dalam pam tandas," katanya ketika dihubungi di sini Jumaat.

Menurutnya bayi malang tersebut berjaya ditemui kira-kira jam 3.30 pagi dengan kesan kecedaraan di bahagian muka dan seluruh badan kebiruan kerana kesejukan.

Gadis berkenaan dan bayinya kemudian dibawa ke Hospital Daerah Kemaman untuk mendapatkan rawatan lanjut dan doktor yang merawat gadis tersebut kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 8 pagi.

Katanya, bayi itu dan ibunya kini stabil dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001. - BERNAMA

Artikel Lain