suria

Utusan Diperintah Bayar RM60,000 Kepada Khalid Samad

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad membayar RM60,000 sebagai ganti rugi kerosakan kepada Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, kerana menerbitkan artikel bersifat memfitnah di akhbar itu dua tahun lepas. Hakim Mahkamah Tinggi Dr Prasad Sandosham Abraham memerintahkan bayaran tersebut kepada Khalid selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mengenai taksiran kerosakan yang dialami. Dr Prasad berkata dalam menentukan jumlah bayaran, beliau telah menimbangkan bahawa artikel berkenaan tidak secara langsung mengaitkan Khalid, dan penulis asal artikel tidak disaman oleh Khalid. Pada 30 September, Khalid telah menang dalam samannya ke atas Utusan Melayu selepas Dr Prasad memutuskan bahawa Khalid dapat membuktikan kesnya dan bahawa plaintif (Khalid) difitnah dan dimalukan oleh defendan dalam artikel tersebut. Semasa mengemukakan samannya tahun lepas, Anggota Parlimen Pas itu menamakan Ketua Pengarang kumpulan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Datuk Aziz Ishak serta penerbit Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia, Utusan Melayu, sebagai pihak defendan. Khalid mendakwa bahawa pada 11 September 11, 2009, Aziz telah dengan niat jahat membenarkan penerbitan dan pencetakan kata-kata memalukan terhadapnya di muka depan Utusan Malaysia.

Dia juga berkata atrikel bertajuk "Zulkifli bidas Pak Janggut" secara langsung dan tidak langsung merujuk kepadanya walaupun nama beliau tidak disebut. Pihak defendan dalam pernyataan bela mereka menyatakan penerbitan berkenaan dibuat berasaskan satu ulasan oleh Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkfli Noordin dalam blognya pada 9 September 2009. - BERNAMA

Artikel Lain