suria

Penuntut Malaysia Selamatkan Diri Dari Bangunan Kampus Semasa Gempa

JAKARTA: Gempa bumi berkekuatan 6.8 pada skala Richter di Nusa Dua, Bali pagi ini turut dirasai sejumlah penuntut Malaysia yang sedang mengikuti kuliah di Universiti Udayana, Denpasar.

Mereka bersama penuntut lain serta staf universiti itu segera menyelamatkan diri dengan keluar dari bilik kuliah ke kawasan lapangan awam kampus universiti itu.

Atase Pendidikan, yang juga Setiausaha Satu Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Ludinata Misnun berkata Education Malaysia (EM) Indonesia telah dihubungi Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Bali, Dr Thanendran yang memaklumkan bahawa semua penuntut Malaysia di universiti itu selamat.

Pengerusi Kelab Umno Bali Mohd Hanif Abdullah turut melaporkan keadaan yang sama.

"Pelajar kita dilaporkan berada dalam keadaan sedikit trauma kerana kejadian gempa pada kali ini agak kuat," kata Ludinata di sini Khamis.

Sejumlah 263 penuntut Malaysia menuntut di Universiti Udayana, Denpasar di Fakulti Perubatan.

Beliau berkata penuntut Malaysia di Malang, Surabaya dan Yogyakarta tidak terjejas dalam kejadian gempa bumi itu.

Pemimpin penuntut Malaysia yang dihubungi EM Indonesia di Malang, Surabaya dan Yogyakarta menyatakan mereka berada dalam keadaan baik kerana impak gegaran yang tidak kuat dari gempa di Bali itu.

EM Indonesia, katanya akan memantau keadaan secara berterusan dan meminta penuntut Malaysia supaya sentiasa berhati-hati.

Gempa bumi pagi ini berlaku pada pukul 10.16 pagi waktu tempatan di lokasi sekitar 143 km barat daya Nusa Dua, Bali, dengan kedalaman 10 km.

Ia tidak membawa ancaman tsunami.

Berapa bangunan di Bali dilaporkan rosak dalam kejadian itu.

Gegaran gempa juga dilaporkan dapat dirasai sehingga Madura, Jember, Blitar, Surabaya, Malang dan Yogyakarta. - BERNAMA

Artikel Lain