suria

Penggunaan Bahasa Melayu Di Sektor Awam Baik Dalam Martabatkan Bahasa Kebangsaan

SANDAKAN: Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk A. Aziz Deraman menyifatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam sektor awam sebagai amat baik dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.

"Dalam sektor awam dan perundangan, penggunaan Bahasa Melayu menunjukkan pencapaian terbaik dalam pelaksanaannya sebagai bahasa kebangsaan.

"Ia merupakan usaha terbaik memperkasakan bahasa kebangsaan ke arah pembinaan negara bangsa berdasarkan Gagasan 1Malaysia," katanya ketika menyampaikan syarahan pada majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat daerah Sandakan yang disempurnakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Gum-Gum Datuk Zakaria Edris di sini, Jumaat.

Aziz, yang juga anggota jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena), berkata usaha mempertahankan kedudukan bahasa kebangsaan perlu melibatkan setiap peringkat masyarakat dan pelbagai bangsa.

Menurutnya Bahasa Melayu telah menjadi antara bahasa pengantar dan komunikasi di dunia ini yang terbukti apabila dimasukkan dalam program pembelajaran di beberapa universiti di luar negara antaranya di 18 universiti di Jepun dan lima universiti di China.

"Maka, rakyat negara ini tidak harus meminggirkan Bahasa Melayu dan kita harus sama-sama memartabatkannya," kata Aziz. - BERNAMA

Artikel Lain