suria

Pemandu Jengkaut Terlepas Hukuman Gantung Selepas Tuduhan Dikurangkan

PUTRAJAYA: Seorang pemandu jengkaut terlepas daripada tali gantung setelah Mahkamah Rayuan di sini Jumaat mengurangkan tuduhan mengedar kepada memiliki 13,746.3gm kanabis. Mohd Nidzam Ahmad, 44, sebaliknya diperintah menjalani hukuman penjara 20 tahun dan dikenakan 10 sebatan rotan selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan memiliki dadah itu di kawasan rehat Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan, Kedah, pada 10 malam, 29 November, 2004.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Malik Ishak, Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Mohtaruddin Baki memerintahkan bapa dua anak itu menjalani hukuman penjara mulai tarikh tangkapan pada 29 November, 2004.

Hakim Abdul Malik menegaskan bahawa terdapat kelemahan dalam kes pendakwaan dan kemudiannya meminda tuduhan itu kepada memiliki dadah.

Panel berkenaan membuat keputusam itu selepas mendengar rayuan Mohd Nidzam untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati bagi kesalahan mengedar dadah dalam tuduhan awal.

Fakta kes menunjukkan bahawa polis mengekori kereta Mohd Nidzam ke arah kawasan rehat tempat dia singgah, sebelum membuat serbuan dan mendapati empat beg dalam kenderaan itu yang mengandungi bahan yang kemudian disahkan sebagai kanabis.

Peguam G.Ravishankar memohon agar mahkamah mengenakan hukuman penjara yang ringan terhadap anak guamnya, yang berjanji tidak akan melakukan lagi sebarang aktiviti jenayah di masa depan.

Timbalan Pendakwa Raya Najib Zakaria, bagaimanapun memohon supaya mahkamah menjatuhi hukuman maksimum penjara 20 tahun, dan berkata pengedaran dadah adalah ancaman kepada negara. - BERNAMA

Artikel Lain