suria

Pejabat Kerajaan Di Gombak Dipecah Masuk, Wang Tunai Hampir RM10,000 Lesap

KUALA LUMPUR: Beberapa pejabat kerajaan termasuk bilik Pegawai Daerah Gombak di bangunan Sultan Sulaiman, Bandar Baru Selayang dipecah masuk dengan wang tunai hampir RM10,000 dilarikan dalam kejadian awal pagi Jumaat.

Polis yang melakukan semakan rekod terakhir rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada bangunan tersebut mendapati dua individu bertopeng dan memakai sarung tangan berusia sekitar 20-an dilihat berada di premis berkenaan pada kira-kira pukul 2.13 pagi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah memberitahu, kejadian itu disedari oleh salah seorang pekerja ketika mahu memulakan tugas kira-kira pukul 7 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati, selain Pejabat Pegawai dan Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Bahagian Unit Hasil, Unit Pentadbiran dan Unit Kewangan yang berada di tingkat satu bangunan turut dipecah masuk.

"Dari pemeriksaan awal, polis percaya suspek memasuki bangunan pejabat melalui tingkap tandas wanita di tingkat bawah belakang bangunan tersebut. "Suspek kemudian memecahkan mangga pada pintu gril serta tombol pintu untuk masuk ke dalam pejabat serta bilik-bilik di dalam pejabat tersebut.

"Berkemungkinan terdapat suspek yang mengetahui selok-belok bangunan ini kerana setelah berjaya memecah masuk pejabat, mereka bertindak memotong wayar CCTV bagi mengelak kegiatan mereka dirakam," katanya.

Abdul Rahim berkata pihak polis akan memanggil dan menyoal siasat syarikat keselamatan, pekerja landskap dan kontraktor penyelenggaraan yang mengawal selia bangunan tersebut.

"Pemeriksaan mendapati hanya wang tunai RM9,900 yang diletakkan di dalam peti simpanan yang hilang dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk bangunan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain