suria

Mustapa Ketuai Misi Perdagangan dan Pelaburan Ke China

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, akan mengetuai Misi Perdagangan dan Pelaburan ke China dari 16-22 Oktober ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, misi ke Beijing, Chengdu dan Hong Kong itu adalah bertujuan meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China, di samping mengukuhkan perangkaian antara sektor swasta kedua-dua negara.

Semasa misi tersebut, Mustapa akan memaklumkan perkembangan terkini pembangunan ekonomi Malaysia dan peluang pelaburan kepada pelabur, serta bertemu ketua-ketua wilayah dan bandar untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

Beliau juga akan berkunjung ke Nanning untuk mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri majlis pembukaan Ekspo China-Asean (CAEXPO) ke-8, di mana Malaysia merupakan negara yang diberi penghormatan tahun ini.

Acara itu menyediakan peluang lagi kepada Najib dan Perdana Menteri China Wen Jiabao bertemu sekali lagi dalam tempoh enam bulan, selepas kunjungan Jiabao ke Kuala Lumpur pada April.

Sementara itu, 132 syarikat Malaysia, 16 agensi kerajaan dan tiga persatuan perniagaan telah mengesahkan penyertaan mereka dalam CAEXPO. Malaysia dan China berkongsi hubungan perdagangan yang kukuh. Malaysia juga merupakan rakan dagang terbesar China di Asean.

Perdagangan dua hala tahun lepas mencecah US$45.6 bilion (RM137.89 bilion).

Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, perdagangan Malaysia dengan China meningkat sebanyak 18.8 peratus kepada US$35.4 bilion (RM107.06 bilion) daripada US$29.8 bilion (RM97.67 bilion) bagi tempoh yang sama pada 2010. - BERNAMA

Artikel Lain