suria

Malaysiakini Sah Bincang Dengan The Malay Mail

PETALING JAYA: Portal berita Malaysiakini pada Jumaat mengesahkan wujudnya perbincangan mengenai penjualan kandungan kepada akhbar tabloid, The Malay Mail.

Bagaimanapun Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini, Steven Gan menafikan dakwaan bahawa portal berita berkenaan akan dijual ataupun berhasrat memiliki pegangan saham dalam The Malay Mail.

"Sudah diketahui umum bahawa The Malay Mail akan dilancarkan semula sebagai akhbar harian pagi dan bukan lagi akhbar percuma edisi petang. Untuk itu, ia mendekati beberapa pemain dalam talian, blog dan agensi berita antarabangsa untuk mendapatkan kandungannya, Malaysiakini tidak terkecuali.

"Biar kami tegaskan, kami tiada niat untuk memiliki sebarang saham dalam The Malay Mail atau menyerahkan pemilikan dalam Malaysiakini," katanya yang dipetik daripada portal berita Malaysiakini.

Dalam pada itu, Steven yang juga pengasas bersama portal berita sejak 11 tahun itu melahirkan kekesalan apabila perbincangan yang disifatkan masih pada peringkat awal mengenai pertukaran kandangan dengan The Malay Mail disalah ertikan.

"Ia benar-benar mengejutkan kami apabila perbincangan tentang kandungan dan masih jauh untuk sebarang kata sepakat diputar belit oleh beberapa laman berita menjadi isu pertukaran kandungan demi saham," katanya.

Tegas Steven, penjualan kandungan kepada The Malay Mail tidak akan menjejaskan pendirian editorial mereka sebaliknya sekadar jalinan hubungan niaga.

"Menjual kandungan tidak menjejaskan pendirian editorial kami. Pengguna kandungan kami tiada sebarang suara dalam sidang pengarang - ambil atau tinggalkan saja. Mereka juga tidak dibenarkan mengubah kandungan yang disiarkan," katanya.

The Malay Mail pertama kali diterbitkan pada tahun 1896, kini di bawah kumpulan Media Redberry iaitu anak syarikat Ancom Berhad yang diterajui Datuk Siew Ka Wei.

Redberry dikawal oleh Siew dan rakan kongsinya, Mohamad Al-Amin Abdul Majid

Bermula Mei 2008, The Malay Mail menjadi akhbar tengah hari yang diedarkan secara percuma namun baru-baru ini pihak pengurusannya mengumumkan untuk kembali sebagai edisi harian yang berbayar.

Artikel Lain