suria

Malaysia Boleh Miliki Dua Syarikat Penerbangan:Kamaruddin

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd berkata usaha untuk mewujudkan dua syarikat penerbangan di negara ini bukan sesuatu yang mustahil memandangkan kedua-duanya menyediakan tawaran yang berbeza.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad, Datuk Kamaruddin Meranun berkata dengan adanya dua syarikat penerbangan, satu dengan tambang murah dan satu lagi premium, akan memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang untuk ke destinasi yang diingini.

Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia merupakan dua syarikat penerbangan yang berbeza, kata beliau ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24.

"Kenapa tidak boleh ada dua? Masing-masing mempunyai daya tarikannya tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan bersama," katanya.

Kamaruddin turut menafikan wujud "tangan-tangan ghaib" dalam urusan pertukaran saham dengan MAS yang dimeterai baru-baru ini.

Beliau berkata segala perjanjian mengenai pertukaran saham dengan MAS dilakukan secara terus dengan Khazanah Nasional Berhad.

Pertukaran saham dengan MAS itu bukan bermakna wujud penggabungan antara kedua-dua syarikat penerbangan tersebut sebaliknya hanya usahasama, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain