suria

Lelaki Lumpuh Terselamat Dalam Kebakaran Di Rantau Panjang

RANTAU PANJANG: Seorang bekas pemandu teksi yang lumpuh akibat serangan angin ahmar nyaris maut dalam kebakaran melibatkan lapan kediaman dan tiga rumah kedai di Jalan Sekolah Cina di sini, malam tadi.

Mohd Rosdi Rashid, 49, yang terlantar di rumah ketika kejadian 8.15 malam itu diselamatkan isterinya Rubiah Ruman, 48.

Bagaimanapun, Mohd Rosdi luka di bahagian kaki dan badan kerana terkena serpihan kayu rumah yang hangus ketika dipapah keluar oleh isterinya, dan menerima rawatan di Pusat Kesihatan Rantau Panjang.

Rubiah berkata walaupun tinggal sehelai sepinggang, beliau tetap bersyukur kerana suami dan lima anaknya terselamat.

"Saya hanya sempat capai beg tangan yang mengandungi kad pengenalan tetapi semua dokumen lain, termasuk surat beranak anak-anak saya, hangus sama sekali," katanya ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Turut musnah ialah sebuah motosikal.

Seorang lagi mangsa, Noraida Ismail, 39, berkata beliau bersama tujuh anaknya sedang menonton televisyen dan bergegas keluar apabila menyedari kebakaran berlaku.

Beliau berkata suaminya Azmi Mat Yatim, 36, tiada di rumah ketika kejadian kerana bekerja di Pasir Mas.

Keluarganya kini menumpang tinggal di rumah jiran.

Beliau mengesyaki kebakaran berpunca daripada litar pintas kerana kebanyakan bangunan di situ merupakan bangunan lama dan diperbuat daripada kayu.

Pegawai Operasi pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Abdul Ghani Mamat berkata tiga jentera bersama 18 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan, dan berjaya mengawal api dalam masa 30 minit.

Punca kebakaran masih disiasat. Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. - BERNAMA

Artikel Lain