suria

Kastam Melaka Rampas Rokok Seludup RM1.194 Juta Termasuk Cukai

MELAKA: Kastam Melaka berjaya merampas rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran bernilai RM1.194 juta termasuk cukai dalam satu operasi di Km 203, Lebuhraya Utara Selatan, pada Jumaat.

Pengarah Kastam negeri Datuk Mohd Nasir Said berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 39 tahun yang memandu lori membawa muatan rokok itu.

Lori itu yang telah dikikis nombor casisnya dalam perjalanan ke utara, dipercayai untuk mengedarkan rokok terbabit di pasaran gelap di sana, katanya pada sidang media, di sini.

Selain itu dalam satu operasi pada Sabtu lepas, Kastam Melaka merampas minuman keras juga dipercayai diseludup masuk ke negara ini dengan nilai keseluruhan termasuk cukai sekitar RM221,000, di Km 272.5, Lebuhraya Utara Selatan.

Minuman keras terbabit ditemui dalam sebuah lori lima tan yang dalam perjalanan ke utara, katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir mendedahkan kediaman seorang pegawainya dilontar tiga bom petrol pada awal pagi Isnin lepas, dipercayai dilakukan kumpulan sindiket yang berang aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.

"Tindakan menakut-nakutkan dengan membaling botol api atau apa jua ancaman akan kami atasi dengan cara yang lebih baik dan profesional, dan kita akan terus menggempur sindiket ini sehinggalah aktiviti mereka lumpuh," katanya.

Beliau yang enggan mendedahkan butiran lanjut insiden, berkata pegawai terbabit telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain