suria

Kadar Jenayah Di Miri Turun 50 Peratus

MIRI: Strategi polis menjalin kerjasama dengan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dalam membanteras jenayah telah berjaya mengurangkan kejadian jenayah di bandaraya ini sehingga 50 peratus.

Tanpa menyatakan jumlah kes jenayah terbabit, Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Supt Ismail Idris berkata hasil itu dicapai sejak operasi Hotspot di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dilancarkan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mortadza Nazarene 1 Ogos lepas.

"Balai Polis Pusat Miri yang secara puratanya menerima empat laporan jenayah sehari sebelum ini kini menerima dalam lingkungan dua laporan sahaja. Di Balai Polis Lutong pula tiada laporan langsung diterima berkenaan kejadian jenayah sejak tiga hari lepas," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Menurutnya, seramai 131 orang anggota Rela dan JPAM terlibat dalam rondaan polis di bawah program NKRA ini yang telah dapat meningkatkan keupayaan anggota penguatkuasa di kawasan-kawasan awam dan perumahan.

Polis juga melaksanakan rondaan lebih kerap sehingga ke bahagian sempadan Sarawak dan Brunei di Sungai Tujuh, katanya.

Mengenai rungutan orang ramai bahawa polis kini semakin kerap melaksanakan sekatan jalan raya yang didakwa menimbulkan kesulitan kepada mereka, Ismail berkata usaha penguatkuasaan itu adalah demi kepentingan awam.

"Kita memang ada menerima rungutan seperti ini tetapi kita berharap orang ramai memahami bahawa tujuan kita ini bukanlah untuk menyusahkan mereka," katanya.

Beliau turut meminta penduduk menyertai Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang bermula sejak September lepas bagi memastikan kawasan perumahan mereka bebas daripada sebarang kejadian jenayah. - BERNAMA

Artikel Lain