suria

Jualan Kenderaan Meningkat 2.2 Peratus Pada September Kepada 44,407 Unit

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan kenderaan meningkat 2.22 peratus kepada 44,407 unit pada September berbanding 43,443 unit, yang dijual pada bulan yang sama tahun lepas, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Jumlah jualan September sebanyak 13,975 unit atau 24 peratus lebih rendah pada Ogos berikutan tempoh bertenang selepas penyerahan segera sempena Hari Raya dan Merdeka.

Ia merupakan bulan kerja yang pendek berikutan cuti sambutan Aidilfitri dan Hari Kebangsaan, kata MAA dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MAA bagaimanapun berkata jumlah jualan bagi tempoh sembilan bulan berkurangan kepada 450,244 unit berbanding 453,249 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Jualan kenderaan penumpang pada September meningkat kepada 39,628 unit berbanding 38,761 unit yang direkodkan sebelumnya manakala jualan kenderaan komersil meningkat kepada 4,779 unit berbanding 4,682 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

Sepanjang tempoh Januari-September, jualan kenderaan penumpang susut kepada 402,676 unit berbanding 408,450 unit yang dijual pada tempoh yang sama tahun lepas, manakala jualan unit komersil meningkat kepada 47,568 unit berbanding 44,799 unit yang dicatatkan pada tempoh yang sama.

Jumlah pengeluaran kenderaan pada September sebanyak 44,775 unit berbanding 34,586 unit yang didaftarkan pada bulan yang sama tahun lepas.

Pengeluaran kenderaan penumpang pada bulan itu meningkat kepada 40,314 unit berbanding 31,797 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas, manakala keluaran kenderaan komersil meningkat kepada 4,461 unit, berbanding 2,789 unit, sebelumnya.

Bagi tempoh sembilan bulan, pengeluaran kenderaan penumpang susut kepada 383,001 unit berbanding 402,508 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lepas manakala keluaran unit komersil berkurangan kepada 33,415 unit berbanding 34,723 unit yang dijual pada tempoh yang sama tahun lepas.

MAA berkata jualan Oktober dijangka lebih tinggi memandangkan kedudukan pasaran kembali kepada paras biasa. - BERNAMA

Artikel Lain