suria

CAEXPO 2011:Malaysia Bakal Pikat Pengunjung Bagi Perniagaan Makanan dan Pelancongan

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk menarik pengunjung Ekspo China-Asean Kelapan (CAEXPO 2011) di Nanning, China pada minggu depan, dalam apa yang negara paling terkenal - makanan dan pelancongan.

Satu pertiga daripada 151 peserta pameran Malaysia yang dihoskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Pavilion Malaysia seluas 2,900 meter persegi adalah pengeluar makanan dan minuman.

Bagi Pavilion "City of Charm" yang berkeluasan 270 meter persegi, Malaysia akan mempamerkan Johor Baharu pula kali ini selepas Melaka pada tahun lepas dan Kuching pada 2009.

Tourism Malaysia Johor Baharu sebagai agensi peneraju bagi City of Charm, membawa delegasi yang terdiri daripada pegawai-pegawai pelancongan negeri itu, pengusaha pelancongan, pengusaha hotel, pemilik produk dan kumpulan kebudayaan dari Yayasan Warisan Johor dan Kumpulan Kun Seng Keng.

Mengulas mengenai penyertaan besar syarikat makanan dan minuman Malaysia serta delegasi pelancongan dari Johor di CAEXPO yang dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 21 Okt, Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Dr Wong Lai Sum berkata:

"Rakyat China amat ingin tahu tentang makanan kita. Mereka ingin tahu mengenai bagaimana Cina di negara kita sebenarnya telah bersepadu dengan kaum-kaum lain dan anda tahu, kita makan masakan yang kita panggil kita punya sendiri. Kita juga bercakap tentang makanan halal.

"Rakyat China juga telah ke sini untuk pelancongan. Mereka meyukai pulau-pulau dan tempat-tempat seperti Sabah dan Sarawak.

"Dalam mempromosikan Malaysia, kita juga menggalakkan semua ini," kata beliau dalam satu temu bual.

CAEXPO merupakan acara tahunan yang diadakan di Nanning sejak 2004 di bawah Kerangka Kerja Kerjasama Ekonomi Komprehensif China-Asean.

Ia memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China serta dengan negara-negara Asean yang lain, dan berfungsi sebagai platform yang ideal bagi Malaysia untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan kepada gabungan pasaran China dan Asean berjumlah 1.9 bilion penduduk.

Dr Wong berkata, sikap warga China yang menyukai dan ingin mencuba makanan Malaysia telah membawa kepada peningkatan berganda dalam eksport makanan negara ke China, terutamanya sos.

"Kita tidak mengharap mereka, misalnya untuk menyukai "rendang" atau makan "nasi lemak", dalam masa yang singkat.

"Kita sebenarnya menawarkan masakan alternatif dan memberi peluang kepada mereka menguji masakan kita," kata beliau.

Antara makanan terbaik Malaysia yang dipamerkan di CAEXPO 2011 ialah rendang tok, serunding daging, serunding ayam dan acar buah oleh Semarak Mujarab Sdn Bhd.

Peserta lain termasuk MTC Advance Marketing Sdn Bhd dengan produknya Polyfloral Honey dan Royal Jelly in Honey, Top Fruits Sdn Bhd dengan "Frozen MyDurian Pulp", "Frozen Nangka Pulp" dan MyDurian Pastry; manakala Innoroselle Sdn Bhd dengan yang kordial Roselle.

Jenama yang lebih dikenali mungkin Mister Potato Crisps dari Kilang Makanan Mamee Sdn Bhd dan Julie's Biscuits dari Perfect Food Manufacturing (M) Sdn Bhd. - BERNAMA

Artikel Lain