suria

Sindiket Pengemis Warga Asing Lumpuh

KUALA LUMPUR: Polis bandar raya melumpuhkan satu sindiket peminta sedekah daripada kalangan warga asing dengan penahanan tujuh lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) rakyat China dan seorang lelaki warga tempatan di Jalan Sarawak, di sini awal pagi Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, sebelum itu polis menerima laporan salah seorang daripada tujuh lelaki itu yang mendakwa telah menjadi mangsa sindiket tersebut yang memaksa mereka meminta sedekah di kawasan tumpuan utama di bandar raya.

"Kira-kira pukul 3 pagi, sepasukan polis berjaya mengesan pengadu bersama tiga rakannya serta seorang lelaki tempatan yang merupakan pemandu teksi yang terlibat dengan sindiket itu.

"Selepas itu, tiga lagi rakan pengadu berjaya dikesan di sekitar lokasi berkenaan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket tersebut telah beroperasi sejak tiga bulan lepas di mana kesemua tujuh lelaki berumur antara 27 dan 38 tahun itu menggunakan pas lawatan sosial untuk ke negara ini. Mohmad berkata ketujuh-tujuh warga asing itu mendakwa seorang lelaki yang dipercaya suspek utama, menyimpan pasport mereka dan bertindak sebagai ketua sindiket tersebut yang mampu memperoleh kutipan wang sedekah antara RM500 dan RM1,000 setiap hari.

Beliau berkata mereka juga mengadu bahawa suspek enggan menyerahkan pasport dan memaksa mereka terus meminta sedekah sungguhpun kesemua mereka mahu pulang ke negara asal.

Mohmad berkata polis percaya suspek utama itu masih berada di sekitar Lembah Klang dan gerakan mengesannya sedang dijalankan bagi membantu siasatan kes mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (ATIP).

Dalam kes berasingan, dua lelaki ditahan selepas dipercayai melarikan sebuah kereta milik seorang wanita berusia, 69 tahun yang merupakan pengurus sebuah hotel di Jalan Klang Lama baru-baru ini.

Mohmad berkata, kejadian berlaku apabila suspek yang merupakan kenalan keluarga pengadu itu berpura-pura ingin meminjam kereta jenis Honda Crossroad itu untuk ke klinik.

"Suspek kemudian gagal dihubungi dan pengadu membuat laporan polis berhubung kehilangan kereta tersebut. Pemeriksaan menggunakan GPS mendapati kereta tersebut telah berada di Masai, Johor Bahru.

"Pihak kami kemudian berjaya mengejar dan menahan kereta tersebut dan menahan suspek dan seorang lagi rakannya,' katanya.

Menurutnya siasatan mendapati suspek pertama, 37 tahun dan mempunyai empat kes lampau iaitu peras ugut, bunuh, rogol dan lari dari tahanan dan dia telah diserahkan ke Polis Selangor untuk siasatan lanjut.

Mohmad berkata suspek kedua, 33 tahun pula pernah ditahan selepas terlibat dalam kes rogol pada 1999 dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah. - BERNAMA

Artikel Lain