suria

Ramai Pengeluar Sarang Burung Malaysia Sertai Caexpo 2011

KUALA LUMPUR: Malaysia, pengeluar sarung burung kedua terbesar di dunia, menghantar jumlah besar peserta industri itu ke Ekspo China-Asean (CAEXPO 2011) kelapan di Nanning, China, minggu depan.

Mereka mewakili kira-kira separuh daripada 36 peserta dalam segmen Kesihatan dan Kesejahteraan membabitkan kawasan seluas 2,900 meter persegi di Pavilion Malaysia di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Nanning.

Antaranya ialah Aeries Pure Bird Nest (M) Sdn Bhd, Dragon Bird Nest Sdn Bhd, Ecolite Biotech Manufacturing Sdn Bhd, EBN Industries Sdn Bhd, Golden Swiftlet Product Sdn Bhd, Sari Walit Sdn Bhd dan Wing Shen Food Industries Sdn Bhd.

CAEXPO ialah acara tahunan yang berlangsung di Nanning sejak 2004 menerusi Perjanjian Kerangka Kerja Kerjasama Ekonomi Komprehensif China-Asean.

Ia memain peranan penting dalam mengukuhkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China selain bersama negara anggota Asean yang lain dan berperanan sebagai platform ideal untuk Malaysia mempromosikan produk dan perkhidmatan ke pasaran China dan Asean yang didiami 1.9 bilion penduduk.

"Masyarakat China gemarkan sarang burung kita. Mereka mengetahui produk kita mempunyai kualiti premium," kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Dr Wong Lai Sum.

"Setiap tahun ramai pengedar dan syarikat China hadir pada ekspo ini bagi mendapatkan sumber sarang burung.

"Biasanya menjadi hentian pertama, jika mereka tidak sensitif pada harga dan jika mereka peka terhadap kualiti, ialah Pavalion Malaysia," katanya.

Bagi CAEXPO 2011 yang berlangsung enam hari bermula 21 Okt, para pegawai Matrade mengingatkan pengeluar sarung burung, mentah dan diproses, mematuhi garis panduan produk sarang burung.

Pada taklimat kepada semua peserta Malaysia, pengeluar sarang burung diminta memperoleh Sijil Tempasal daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Persekutuan Pekilang Malaysia, dewan perniagaan atau persatuan-persatuan perdagangan.

Bagi sarang buruh mentah, mereka mesti memperoleh sijil veterinar daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Sijil Kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan jika perlu bagi sarang burung mentah dan diproses.

Pasaran tahunan global bagi sarang burung walit bernilai RM10.2 bilion, dengan Malaysia kini merupakan pengeluar kedua terbesar dunia membabitkan jualan bernilai RM1.5 bilion.

Kerajaan menyasarkan menguasai 40 peratus pasaran global untuk sarang burung pada 2020, berdasarkan Laporan Ekonomi 2010/2011 Perbendaharaan yang dikeluarkan minggu lepas. - BERNAMA

Artikel Lain