suria

Penyeludup Sanggup Sewa Kereta RM100 Sehari Untuk Seludup Minyak

PADANG BESAR: Penyeludup minyak dikesan sanggup menyewa kereta buruk pada kadar RM100 sehari bagi memastikan kegiatannya berjalan lancar.

Pemangku Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Perlis, Asisten Superintenden Noor Janihan Nanyan berkata perbuatan itu dikesan dalam serbuan di Kampung Baru Bukit Chabang dekat sini kira-kira 10.45 pagi Khamis.

Penyeludup mengaut keuntungan besar dalam kegiatan menyeludup minyak bersubsidi sehingga sanggup menyewa kereta pada kadar itu, katanya kepada pemberita di sini.

Katanya dalam serbuan itu, sebanyak 1,115 liter petrol diisi dalam lima tong dram dan satu tong plastik besar dan 347 liter diesel diisi dalam empat tong plastik hitam dan satu tong dram, kesemuanya bernilai RM20,568 dirampas dalam dua buah kereta yang disewa.

"Kami turut merampas dua pam mesin penyedut minyak yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penyeludupan minyak," katanya dan menurutnya bahan api itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Dua lelaki rakyat tempatan berumur antara 20 dan 30 tahun turut ditahan dalam serbuan itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain