suria

Muhyiddin Mahu IPT Tumpu Kepada Kualiti Pelajar Bukan Hanya Kuantiti

MELAKA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peranan institusi pengajian tinggi awam atau swasta tidak harus hanya tertumpu untuk menjana bilangan pelajar sahaja, sebaliknya yang lebih penting adalah kualiti pelajar yang dihasilkan.

Timbalan Perdana Menteri berkata ia bagi memastikan institusi pendidikan tinggi di negara ini mampu menghasilkan modal insan yang berkualiti supaya mampu setanding atau lebih hebat di peringkat antarabangsa.

"Saya nak ajak para pensyarah, warga pendidik serta badan kepimpinan pelajar yang ada supaya selain kita membentuk keupayaan kita dalam pelbagai bidang, membentuk sahsiah dan sebagainya,

"Tetapi yang tidak kurang penting ialah menentukan kualiti ilmu yang kita kuasai adalah amat tinggi, setanding malahan lebih hebat dari rakyat luar negara," katanya semasa berucap pada majlis perjumpaan Timbalan Perdana Menteri bersama warga Institusi Pengajian Tinggi negeri Melaka di Dewan Seri Negeri di sini, Khamis.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya kerajaan juga berharap supaya generasi baru dapat belajar hingga ke peringkat tertinggi di menara gading supaya mereka boleh menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan sama ada sains dan teknologi, bahasa atau pelbagai disiplin lain.

Menurutnya hanya melalui penguasaan ilmu yang boleh memperbaiki taraf hidup masyarakat yang mundur dan miskin kepada kehidupan yang lebih menjamin masa depan.

"Ilmu merupakan asas pembentukan tamadun bangsa dan kerana itu kerajaan begitu prihatin dalam soal pendidikan dalam usaha untuk membimbing dan memperjuangkan nasib bangsa," kata beliau.

Menurutnya berbanding zaman dahulu hanya golongan bangsawan atau yang berpendapatan tinggi sahaja berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, tetapi kini kesemua lapisan masyarakat berupaya melaksanakannya.

"Pendidikan merupakan satu perkara universal dan sejagat. Tiada seorang pun yang boleh dinafikan haknya untuk menuntut ilmu," kata Muhyiddin.

Pada sesi soal jawab kemudiannya, Muhyiddin turut menjawab beberapa soalan mengenai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) termasuk permintaan supaya usaha memperkasa persatuan itu dilaksanakan hingga ke peringkat lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau berpendapat adalah lebih penting supaya PIBG lebih tertumpu di sesebuah sekolah sahaja dan tidak perlu gabungan di peringkat nasional.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan mewujudkan anugerah untuk kepimpinan PIBG bermula tahun depan sebagai mengiktiraf peranan persatuan itu yang banyak membantu kecemerlangan sesebuah sekolah.

"Apa bentuk hadiah kita akan beritahu (kemudian). Tetapi tujuannya untuk menjadikan PIBG lebih cergas, kedua supaya dapat membantu sekolah dengan lebih bersungguh-sungguh dan ketiga supaya pencapaian pelajar dapat dilihat dengan lebih nyata dengan adanya penglibatan PIBG," katanya.

Menurutnya inspirasi untuk mewujudkan anugerah itu timbul semasa beliau melawat sebuah sekolah di ibu negara semasa peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dijalankan baru-baru ini.

"Ada seorang wanita memberitahu yang dia sudah memimpin PIBG selama 16 tahun dan dia telah belanja banyak wang, banyak berkorban masa. Datang ke sekolah setiap hari untuk membantu (sekolah).

"Daripada itu, saya mendapat inspirasi supaya kita menyediakan anugerah ini kepada kepimpinan PIBG di seluruh negara," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain