suria

Media Prima Umum Pelantikan Ketua Pengarang Baru NSTP

KUALA LUMPUR: Kumpulan media bersepadu, Media Prima Bhd, pada Khamis mengumumkan pelantikan beberapa pegawai kanan pengurusannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata Mohammad Azlan Abdullah dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan pengganti Datuk Anthony Firdauz Bujang sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSTP.

Anthony akan menamatkan perkhidmatannya pada Disember setelah berkhidmat selama 12 tahun di Media Prima.

Pelantikan lain termasuk Abdul Jalil Hamid sebagai Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, menggantikan Datuk Zainul Ariffin Mohamd Isa yang akan mengisi dua jawatan baharu sebagai Pengarang Urusan e-media NSTP dan ketua Bahagian Media Baharu Media Prima.

Sementara itu, Datuk Mohd Ashraf Abdullah dilantik sebagai Timbalan Pengarang Urusan Rangkaian Televisyen dan Radio Media Prima yang memantau operasi berita dan editorial TV3, ntv7, 8TV, Hot FM, Fly FM dan One FM.

Jeff Cheah See Hong pula dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Big Tree Outdoor Sdn Bhd, menggantikan Mohammad Azlan, manakala Farisha Pawanteh akan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Primmeworks Studio Sdn Bhd pada 31 Oktober, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain