suria

Lelaki Samun Kereta Ditembak Mati

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang disyaki melarikan sebuah kereta di Hentian Rehat Bukit Gantang, Perak, ditembak mati di Seksyen 24 di sini, malam Rabu.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditembak di kawasan tempat letak kereta sebuah flat pada pukul 9.30 malam, selepas dia dihantar di kawasan itu oleh seorang wanita dipercayai teman wanitanya dengan sebuah kereta Kancil.

Polis turut menahan wanita terbabit yang berusia 28 tahun kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Beliau berkata ketika kejadian, lelaki terbabit cuba mengundurkan kereta untuk melarikan diri apabila melihat anggota polis yang ke kawasan itu selepas mendapat maklumat daripada orang ramai mengenai lelaki yang mencurigakan berada di kawasan itu.

"Ketika mengundurkan kereta, lelaki terbabit melanggar sebuah kereta peronda polis dan melepaskan dua das tembakan ke arah polis, satu daripadanya mengenai kereta peronda polis.

"Polis tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membalas tembakan yang mengenai lelaki terbabit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, Khamis.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kereta berkenaan dilaporkan dilarikan daripada sebuah keluarga yang berhenti rehat di hentian rehat itu pada 24 September lepas.

"Dalam kejadian itu, lelaki terbabit bersama seorang rakannya mengacukan pistol ke arah seorang wanita dan dua anaknya bersama seorang pembantu rumah yang berada dalam kereta itu ketika suami wanita berkenaan meninggalkan mereka di dalam kereta untuk ke tandas.

"Wanita dan keluarganya itu diarah turun dari kereta ketika kereta itu bergerak," katanya.

Tun Hisan berkata siasatan polis juga mendapati lelaki terbabit mempunyai lima rekod jenayah lampau termasuk satu kes bunuh di Sungai Petani, Kedah.

Polis kini memburu soerang lagi lelaki yang disyaki terbabit dalam kes samun kereta itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain