suria

Lelaki Dibunuh Dalam Pergaduhan

IPOH: Seorang lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh selepas berlaku pergaduhan di rumah sewanya di Menglembu di sini, Khamis.

Mayat Chen Woon Min, 47, ditemui terbaring di ruang tamu rumah itu dengan kesan kecederaan di kepala dan leher.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, Chen didatangi seorang lelaki yang didakwa pemilik rumah yang disewanya.

Kedua-dua mereka dilapor bertengkar dan siasatan awal polis mendapati Chen diserang menggunakan objek keras, katanya ketika dihubungi di sini.

Mayat Chen dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. Dzuraidi berkata polis kini mencari seorang lelaki yang dikenali sebagai Fan San, 60, bagi membantu siasatan kes itu.

Punca sebenar kejadian belum diketahui dan siasatan awal mendapati kedua-dua mereka adalah penagih dadah, katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh melalui nombor telefon 05-2451500 atau balai polis berhampiran untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain