suria

Karpal Singh Tarik Balik Rayuan Semakan Kehakiman Terhadap Zaki

PUTRAJAYA: Peguam Karpal Singh menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk semakan kehakiman bagi memaksa bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi menjawab aduannya berhubung dakwaan salah laku Zaki semasa menjadi peguam.

Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Clement Allan Skinner menolak rayuan itu. Karpal Singh memaklumkan mahkamah bahawa perkara itu sudah bersifat akademik kerana Zaki sudah bersara.

"Berikutan keadaan ini, saya terpaksa menarik balik rayuan," katanya.

Pada 1 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Karpal Singh untuk memfailkan semakan kehakiman.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor dan Pengerusi DAP itu memohon perintah mandamus untuk memaksa Zaki menjelaskan dakwaan salah lakunya berhubung pengakuannya merasuah pegawai mahkamah semasa beliau menjadi peguam pada 1987.

Beliau juga memohon supaya Zaki dihadapkan ke Tribunal Kod Etika Hakim.

Datin Azizah Nawawi mewakili Zaki. - BERNAMA

Artikel Lain