suria

Gempa Di Bali, 46 Cedera, 19 Bangunan Rosak

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter yang berlaku di Nusa Dua Bali pagi Khamis mengakibatkan 19 bangunan rosak dan 46 orang cedera, termasuk seorang dalam koma dan kritikal. Agensi berita Antara melaporkan mangsa yang kritikal itu menerima rawatan intensif di Hospital Umum Sanglah, Denpasar.

Ia juga melaporkan bahawa 45 pelajar dan guru sebuah sekolah menengah vokasional di Denpasar luka-luka akibat bencana yang berlaku pada pukul 11.16 pagi waktu tempatan itu.

Sehingga ini, belum ada laporan mangsa meninggal dunia.

Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) mengesan sekurang-kurangnya 10 gempa susulan yang menggegarkan wilayah Bali hingga petang.

Gempa yang berpusat di laut itu berlaku dalam kedudukan 143km ke barat daya Nusa Dua, Bali pada kedalaman 10km, mengikut laporan awal namun BMKG kemudian melaporkan pusat gempa ialah kedalaman 58 km dan tidak akan mewujudkan tsunami.

Sementara itu Badan Pengurusan Bencana Bandar Denpasar, Bali, mencatatkan bahawa 19 bangunan rosak dalam bencana itu termasuklah lapan buah sekolah, bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah Bandar Denpasar, bangunan Monumen Perjuangan Rakyat Bali, Muzium Alam Puri Penatih, Pos Pemadam Kebakaran Juanda, sebuah hospital dan enam rumah kediaman masyarakat di Bandar Denpasar.

Pihak berkuasa tempatan telah mengambil tindakan segera membaiki bangunan sekolah agar kegiatan mengajar dan belajar tidak terganggu. - BERNAMA

Artikel Lain