suria

Dana RM2 Juta Bakal Diwujud Galak Penerbitan Buku Ilmiah Dalam Bahasa Melayu - Muhyiddin

MELAKA: Kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mewujudkan dana berjumlah RM2 juta mulai tahun depan bagi menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata setiap penulis yang menghasilkan buku tersebut yang akan diterbitkan DBP akan menerima ganjaran RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima.

"Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka akan menentukan karya-karya yang layak diterbitkan berdasarkan menuskrip yang dihantar dan memberi ganjaran kepada penulis yang berjaya," katanya semasa merasmikan majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 peringkat kebangsaan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, Khamis.

Yang turut hadir ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Muhyiddin berkata penubuhan dana tersebut merupakan antara beberapa langkah yang diambil kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Beliau berkata pasa masa kini, jumlah buku ilmiah dalam bidang sains dan teknologi yang bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu amat sedikit iaitu daripada hampir 15,700 judul buku yang diterbitkan di negara ini, hanya terdapat kira-kira 3,900 judul buku dalam kedua-dua bidang itu.

"Kita memahami bahawa penerbitan dalam bahasa Inggeris adalah penting untuk meningkatkan penarafan universiti di peringkat antarabangsa, tetapi ini tidak bermakna kita harus meminggirkan penerbitan karya-karya dalam bahasa Melayu," katanya.

Muhyiddin juga berkata fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi khususnya dalam pentadbiran dan urusan rasmi kerajaan akan dimantapkan berikutan persetujuan Kabinet supaya semua penjawat awam diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan rasmi.

"Untuk memastikan arahan ini dipatuhi, pekeliling perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.

Beliau berkata pengkuatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat awam juga perlu diberikan perhatian utama oleh pihak berkuasa tempatan.

Syarikat berkaitan kerajaan juga perlu turut sama menyebarluaskan penggunaan bahasa kebangsaan dalam organisasi masing-masing manakala anggota masyarakat juga perlu sentiasa bersikap positif terhadap bahasa kebangsaan, katanya.

Muhyiddin berkata sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara ini.

Beliau berkata sejak bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan termasuk di peringkat universiti, maka berbondong-bondong pelajar dari seluruh pelusuk negara berjaya memasuki universiti.

"Mereka ini kemudiannya menjadi generasi awal rakyat tempatan yang mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor profesional. Dengan mendapat peluang pendidikan yang berkualiti dalam bahasa kebangsaan, anak-anak bangsa kita telah berjaya memajukan diri dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara yang pesat," katanya.

Beliau berkata pemeluasan kelas menengah secara besar-besaran dan kemajuan pesat negara dicapai selepas bahasa kebangsaan menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara, dan ini menjadi bukti kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. "Janganlah kerana ketaksuban kita kepada bahasa asing menyebabkan kita mempunyai pandangan yang juling terhadap bahasa kebangsaan kita sendiri," katanya.

Pada majlis tersebut, Pengarah Pusat Pengajian Melayu Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing, Profesor Wu Zongyu dinobatkan sebagai Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa.

Wu, 72, menerima RM50,000, buku terbitan DPB dan Watikah Penghargaan Negara. - BERNAMA

Artikel Lain