suria

Mangsa Gores Dan Menang Rugi RM30,000

KUALA LUMPUR: Sebanyak enam aduan membabitkan penipuan "gores dan menang" diterima oleh Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan sepanjang minggu lepas.

Pengerusinya Wilson Lau berkata, kerugian dianggar berjumlah kira-kira RM30,000.

Katanya berdasarkan daripada keterangan, semua mangsa dipercayai telah diperdaya semasa berada di sekitar Plaza Sentral, Times Square dan Sungai Wang, di sini.

"Sindiket akan mendekati mangsa dan bagi tahu mereka telah menang satu tiket yang kononnya "big prize", "super bonus" dan macam-macam lagi. Lepas tu mangsa akan diminta datang ke pejabat untuk urusan menebus hadiah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Gerakan, di sini, Rabu.

Beliau berkata, setelah berjaya memperdaya mangsa dengan pelbagai hadiah menarik seperi kereta Toyota Camry, Toyota Altis, pakej pelancongan dan barangan elektrik mangsa akan diminta untuk membayar sejumlah wang.

"Wang itu kononnya untuk cukai kerana ada hadiah yang datang dari Jepun," katanya.

Lau berkata, kejadian seumpama itu dapat dielak jika setiap individu mengamalkan sikap berjaga-jaga.

Seorang daripada mangsa yang kerugian RM7,600 berkata, dia bukan sahaja ditipu malah diugut oleh sindiket itu.

Menurut Shim Siew Hoon, 30, beliau berada di jejantas Monorail Sungai Wang minggu lepas bila ditarik oleh dua lelaki yang memintanya menyertai peraduan gores dan menang.

"Bila saya beritahu saya tidak mahu...lelaki itu terus tarik saya masuk dalam teksi dan bawa ke pejabatnya di Kuchai Lama dan paksa saya keluarkan duit RM7,600.

"Kerana takut, saya keluarkan duit dan mereka bagi saya tilam jed, dapur digital, penapis air yang harganya tidak sampai pun jumlah duit yang saya bagi," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain