suria

Lelaki Koma Ditembak Rakan Kerana Hutang

KOTA BHARU: Akibat hutang, seorang lelaki berusia 31 tahun koma selepas dipercayai ditembak rakannya dalam kejadian di Simpang Empat Salam, Rantau Panjang, pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa Mohd Annuar Mohd Nor dan anak lelakinya berusia enam tahun dikatakan keluar dari rumahnya untuk menemui dua rakannya di tempat kejadian.

"Mangsa dan anaknya yang tinggal di Taman Wahyu, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian dikatakan menerima satu panggilan telefon sebelum keluar menunggang motosikal untuk menemui dua rakannya berusia lingkungan 30-an.

"Bagaimanapun ketika pertemuan itu, satu pertelingkahan dan pergaduhan mulut telah berlaku menyebabkan salah seorang rakan mangsa telah mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan terhadap mangsa," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa namun hanya satu das tembakan mengenai mangsa manakala anak lelakinya terselamat.

"Satu das tembakan yang dilepaskan mengenai bahagian pinggang kiri mangsa dan menembusi bahagian kanan dadanya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah," katanya.

Katanya kedua-dua suspek yang merupakan penduduk tempatan bagaimanapun melarikan diri dengan motosikal.

Mazlan berkata mangsa yang bekerja kampung itu bagaimanapun sempat pulang ke rumahnya dan dihantar keluarganya ke Hospital Lati, Pasir Mas sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) ekoran kecederaan parah.

Beliau berkata polis percaya kes berkenaan bermotifkan hutang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Katanya orang awam yang melihat dan mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu diminta memberikan kerjasama dengan menghubungi balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Lain