suria

KPWKM teraju usaha lindungi anak di alam siber

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak (KPWKM) menerajui usaha melindungi kanak-kanak di negara ini daripada ancaman dunia siber menerusi penubuhan rangka kerja dasar dan perundangan tidak lama lagi.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, statistik terkini menunjukkan sembilan daripada 10 kanak-kanak di Malaysia pernah mengalami pendedahan negatif hasil penggunaan Internet dan memberi kesan buruk terhadap perkembangan emosi mereka.

Selaras itu, katanya, KPWKM dengan usahasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah dan komuniti setempat sudah mula melaksanakan program advokasi bagi meningkatkan kesedaran di kalangan ibu bapa.

Menurut beliau, usaha tersebut sejajar penyertaan Malaysia dalam Optional Protocol to the Convention on the Rights of the Child on the Sale of Children, Child Prostitution and Child Pornography (Protokol Pilihan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Berhubung Pemerdagangan, Pelacuran dan Pornografi Kanak-Kanak) bermula September lalu.

"Pelan strategik sudah ada tetapi sudah tiba masanya kita mengkaji keperluan perundangan, peraturan dan polisi dalam usaha membendung ancaman siber dan melindungi anak-anak kita sebagai pelengkap kepada Dasar Pelindungan Kanak-Kanak Negara.

"Kementerian juga bekerjasama dengan rakan strategik daripada agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerjaaan (NGO) untuk memastikan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak apabila melayari ruang siber," katanya.

CyberSecurity Malaysia mendedahkan bahawa capaian dan keberkesanan Internet yang semakin meluas membuka ruang kepada penjenayah siber memanipulasi unsur ketakutan, kepercayaan, sifat ingin tahu dan kekurangan pengetahuan di kalangan kanak-kanak demi kepentingan peribadi mereka.

Statistik terkini daripada Pasukan Respons Kecemasan Komputer menunjukkan sebanyak 11,930 kes aduan dibuat iaitu peningkatan sebanyak 130 peratus berbanding kira-kira 5,000 kes pada tahun lalu. Sementara sejumlah 354 kes gangguan siber dalam pelbagai bentuk dilaporkan dalam tempoh sama.

Pada masa sama, satu daripada empat emel yang diterima orang ramai terdiri daripada mesej berunsur penipuan.

"Di luar negara, sudah ada panduan untuk mengharungi revolusi internet dan kini sudah tiba masanya kita melakukan perkara sama dengan membimbing ibu bapa mendidik dan membesarkan anak-anak dalam dimensi kehidupan serba baru," ujarnya.

Shahrizat berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Perlindungan Kanak-Kanak di Alam Siber (Child Online Protection) yang dihadiri lebih 300 peserta termasuk pelajar sekolah di sini, Selasa.

Terdahulu, Shahrizat melancarkan buku panduan 'Guide to a Family-Friendly Internet Experince (Panduan Ke Arah Pengalaman Internet Mesra Keluarga) khusus untuk ibu bapa yang merangkumi petua untuk memahami dan mengambil langkah melindungi anak daripada ancaman siber.

Buku panduan itu diterbitkan oleh DiGi dan CyberSecurity Malaysia dengan sokongan Kementerian Pembanguan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur selain wakil rakan strategik seperti Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah dan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan Industri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johani.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Prof. Datuk Husin Jazri; Pengerusi Eksekutif NGT Solutions Sdn Bhd, Datuk J.L. Solomon; Pengarah Hal Ehwal Korporat DiGi Telecommunications, Zaiton Idrus dan Pengarah Eksekutif Persatuan Kebajikan Generasi Gemilang, Daniel Tan.

Artikel Lain