suria

Kementerian Luar Kaji Tindakan Susulan Kematian Jurukamera TV

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar sedang mengkaji tindakan susulan daripada sudut undang-undang yang dapat diambil agar empat anggota tentera Burundi yang didapati menyebabkan kematian jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor di Mogadishu, Somalia dikenakan hukuman setimpal.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata keempat-empat anggota tentera Burundi itu telah dihantar pulang ke negara mereka untuk dibicarakan setelah siasatan misi pengaman Kesatuan Afrika di Somalia (Amisom) mendapati mereka bertanggungjawab menembak dan menyebabkan kematian Noramfaizul.

Katanya Perwakilan Malaysia di Nairobi, Kenya telah diminta untuk memantau perkembangan perbicaraan tersebut sehingga kes berkenaan selesai.

Kementerian juga akan mengemukakan satu permintaan rasmi kepada Amisom dan kerajaan Burundi agar segala perkembangan terkini mengenai perbicaraan kes tersebut dimaklumkan kepada pihaknya, katanya di Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Anifah berkata demikian ketika menjawab 10 soalan yang dikemukakan oleh anggota Parlimen termasuk John Fernandez (DAP-Seremban), Datuk Safawi Ahmad (BN-Sipitang), Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar), Tan Sri Datuk Abdul Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) berhubung perkembangan kes kematian Noramfaizul yang mengikuti misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia.

Noramfaizul, 39, terkorban setelah terkena tembakan ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda ketika menyertai misi itu di Somalia pada 2 Sept lepas.

Jurukamera TV3, Ajis Saregar Mazlan turut cedera dalam kejadian itu.

Amisom ketika mengeluarkan laporan penuh rasmi siasatan pada 26 Sept lepas mendapati empat tentera Burundi bertanggungjawab terhadap kes itu.

Anifah memberitahu Dewan Rakyat, kes yang mengakibatkan kematian Noramfaizul merupakan satu insiden terpencil dan di luar jangkaan berikutan kesemua garis panduan serta arahan keselamatan yang dikeluarkan dipatuhi.

"Sebaik Kementerian Luar Negeri dimaklumkan Kelab Putera 1Malaysia berhasrat dan akan berangkat ke Somalia dalam beberapa hari untuk menjalankan misi kemanusiaan, kementerian telah memberi pandangan dan nasihat berkenaan situasi semasa, memandangkan keadaan politik yang tidak stabil di negara berkenaan.

"Sebelum misi tersebut berlepas ke Somalia, satu pasukan peninjau ditugaskan ke sana bagi menyelaras dan menguruskan aspek-aspek keselamatan, logistik dan perhubungan," katanya.

Berhubung jumlah pampasan insurans yang diterima waris Allahyarham, beliau berkata sehingga 28 Sept waris menerima sejumlah RM332,406.60 termasuk Skim Insurans Hayat RM50,000, Skim Insurans Kemalangan RM34,622.60, Kelab Putera 1Malaysia RM20,000, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM1,500 dan waris Allahyarham layak menerima pencen bulanan berjumlah RM2,000 dan bayaran akan diterima sehingga anak-anak berumur 21 tahun.

"Dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pula merangkumi bantuan pengurusan jenazah RM3,000, gantian baki cuti rehat RM1,036 dan sumbangan tugas Bernama RM2,248," katanya.

Mengenai jumlah kematian rakyat Malaysia dalam krisis di Somalia mengikut tahun, Anifah berkata enam rakyat Malaysia terkorban sehingga kini iaitu lima anggota Angkatan Tentera Malaysia yang terkorban dalam misi Operasi Bangsa-bangsa Bersatu di Somalia (UNOSOM) dari Mac 1993 hingga Mac 1995 dan pegawai Syarikat KUB Berhad Allahyarham Lt. Komander (B) Rashid Musa pada 1998.

Anifah dalam pada itu menegaskan penting setiap badan bukan kerajaan mempunyai dan mematuhi Piawaian Prosedur Operasi (PPO) atau Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas anggota misi bantuan kemanusiaan ke luar negara.

"Kementerian Luar Negeri akan meneliti setiap PPO mereka untuk memastikan ianya mempunyai perancangan yang menyeluruh dan terperinci termasuk aspek-aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang situasi yang tidak diingini berlaku demi mengurangkan keselamatan mereka," katanya.

Mengenai penggunaan pesawat C130 Tentera Udara Diraja Malaysia oleh Kelab Putera 1Malaysia dari 28 Ogos hingga 4 Sept itu, beliau berkata kerajaan menimbang permohonan tersebut sewajarnya dan mengizinkannya atas faktor keselamatan misi itu dengan syarat semua perbelanjaan berkaitan ditanggung sepenuhnya oleh kelab berkenaan.

Anifah berkata misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera mencapai matlamat untuk mengagihkan bantuan ke beberapa kem pelarian di Somalia dan kerajaan berbangga dengan pertambahan inisiatif serta komitmen badan-badan bukan kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan kepada mangsa kebuluran di negara itu. - BERNAMA

Artikel Lain