suria

Kecekapan Kakitangan Awam Masih Perlu Penambahbaikan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30% daripada sektor perkhidmatan awam di negara ini masih tidak efisien dan memerlukan penambahbaikan.

Sehubungan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berkata, usaha untuk menambahbaik mutu perkhidmatan awam perlu diperkasakan dari semasa ke semasa.

Namun begitu beliau turut menegaskan bahawa mutu perkhidmatan awam secara keseluruhannya sudah menampakkan peningkatan.

Menurutnya, kejayaan meningkatkan mutu perkhidmatan awam itu tidak bermakna penambahbaikan tidak boleh dilakukan.

Sebaliknya ia menuntut komitmen setiap pihak untuk memperbaikinya ke tahap yang lebih baik.

"Memang tidak dinafikan bukan semua jabatan atau agensi kerajaan ketika ini menawarkan perkhidmatan terbaik seperti yang diharap-harapkan.

"Namun, kami akan cuba sedaya-upaya untuk memastikan mutu perkhidmatan awam akan sampai ke tahap yang memuaskan," katanya ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, kelmarin.

Omar menegaskan, adalah tidak benar untuk mendakwa penjawat-penjawat awam tidak bermotivasi sebaliknya pelbagai kursus, seminar dan latihan dianjurkan oleh kerajaan untuk meningkat pengetahuan dan kecekapan kakitangannya.

Artikel Lain