suria

KDN, Institusi Agama Perlu Tegas Tangani Cubaan Pesong Akidah

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen pada Selasa berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan institusi agama perlu mengambil tindakan tegas dan proaktif dalam mengekang cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah orang Islam.

Merujuk titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) mendakwa sudah jelas terdapat gerakan pihak tertentu untuk murtadkan orang Melayu di negara ini. "Memang kita mengamalkan bebas beragama tetapi adalah menjadi kesalahan kalau ada mana-mana pihak menjalankan usaha untuk murtadkan orang Islam," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Pada Isnin, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa telah berlaku cubaan untuk memesongkan kepercayaan dan akidah orang Islam dalam majlis di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lepas.

Ibrahim berkata KDN, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu berganding bahu untuk menangani masalah itu bagi memastikan ia tidak menjadi lebih buruk kerana isu agama boleh menggugat keamanan negara. Sementara itu, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) ketika membahaskan rang undang-undang sama mahu supaya institusi zakat diperkasa untuk memastikan tidak ada pihak luar yang mengambil kesempatan, termasuk memesongkan akidah golongan asnaf zakat yang dihimpit kesusahan.

Beliau berkata kementerian yang bertanggungjawab perlu mengumpulkan data dan menyimpan rekod golongan itu bagi memastikan wang zakat dapat disalur kepada mereka yang benar-benar layak.

"Harus dipastikan wang zakat ini benar-benar sampai kepada golongan fakir dan asnaf ini, jangan sampai mereka terpaksa meminta sedekah.

"Jika wang zakat yang berbilion itu dapat disalurkan kepada yang layak, tidaklah orang miskin meminta sedekah dengan orang lain yang ada cita-cita untuk mengkafirkan orang Islam," katanya.

Mohamed berkata institusi agama termasuk Majlis Agama Islam Negeri dan Jakim juga perlu mencari jalan untuk melahirkan lebih ramai bijak pandai dalam usaha memastikan urusan zakat dapat diperkemas.

Persidangan Dewan disambung pada Rabu. -BERNAMA

Artikel Lain