suria

Bawa Dadah: Sepasang Suami Isteri Ditahan

BESUT: Sepasang suami isteri berumur 22 dan 23 tahun dan seorang pemuda berumur 24 tahun ditahan bersama dadah bernilai kira-kira RM50,000 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kampung Seberang Jerteh, dekat sini, kira-kira 10 malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata ketiga-tiga mereka ditahan selepas polis yang mendapat maklumat daripada orang awam telah memeriksa kereta yang dinaiki mereka yang ketika itu sedang berhenti di R&R itu.

Ketiga-tiga mereka berasal dari Kota Baharu dan suami isteri itu merupakan pekerja sebuah hotel di ibu kota yang dipercayai sedang bercuti, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Besut di sini, Rabu.

Katanya ketika cuba ditahan, pemandu kereta berumur 24 tahun itu telah keluar dan cuba melarikan diri bersama satu bungkusan di tangannya menghala ke jalan besar.

"Apabila polis yang mengejar menangkapnya, lelaki 24 tahun itu telah mencampakkan bungkusan itu yang setelah diperiksa mengandungi empat paket berwarna biru yang didalamnya mengandungi 796 biji pil methamphetamine (pil kuda)," katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut dalam kereta itu, polis menemui satu kotak rokok yang berisi tiga paket dadah dan satu bungkusan berisi lima paket mengandungi 1,190 pil methamphetamine selain lapan biji pil eramin dalam beg tangan wanita itu.

Kamaruddin berkata turut ditemui wang tunai berjumlah RM1,750 dan enam unit telefon bimbit.

Beliau berkata kesemua suspek dipercayai sedang menunggu pelanggan ketika serbuan dilakukan.

Kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain