suria

Usul Lanjutan Umur Persaraan Kakitangan Swasta Belum Muktamad

PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata perbincangan berhubung had umur minimum persaraan kakitangan swasta yang baru daripada 55 tahun kepada 60 tahun di antara pihak kerajaan, pekerja dan majikan masih lagi diteruskan.

Beliau berkata, walaupun secara dasarnya cadangan tersebut telah dipersetujui oleh Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), beberapa perkara masih perlu diperhalusi bersama tiga pihak tersebut sebelum sebarang ketetapan diambil.

“Kerajaan berpendapat sudah tiba masanya cadangan lanjutan had umur persaraan di sektor swasta dilaksanakan. Walaupun MEF sudah bersetuju secara prinsip, tetapi masih ada beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum kita menetapkan umur persaraan.

“Perbincangan di antara tiga pihak iaitu wakil pekerja, majikan dan kerajaan masih diteruskan pada waktu ini untuk mencapai persefahaman bagi menggerakkan usul ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan MEF 2011 di Sunway Resort Hotel & Spa, di sini, Selasa.

Ditanya mengenai pandangannya berhubung cadangan piket anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di seluruh negara pada 3 November depan sebagai membantah cadangan pindaan Akta Pekerjaan yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu, Subramaniam berkata, beliau kecewa dengan isu berbangkit yang diputarbelitkan oleh kesatuan itu.

Katanya, pindaan akta tersebut dibuat di atas permintaan Kesatuan Kebangsaan Pekeja-pekerja Ladang (NUPW) untuk memberi perlindungan kepada para pekerja terbabit daripada penindasan.

“Saya amat sedih apabila MTUC yang juga salah sebuah kesatuan pekerja telah memutarbelitkan isu ini untuk mengadakan piket.

“Ingin saya jelaskan, pindaan itu dibuat bukan atas permintaan majikan tetapi oleh persatuan sekerja yang berdepan masalah dalam industri pekerjaan mereka seperti penindasan dan isu bayaran gaji.

“Mereka menggunakan isu ini untuk memberikan pandangan yang salah kepada rakyat. Kita akan berusaha untuk memberikan pandangan sebenar kepada rakyat,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya bersedia untuk mengadakan rundingan lanjut dengan MTUC berhubung isu ini dalam masa terdekat.

Pada Selasa, Presiden MTUC Mohd Khalid Atan berkata, mereka akan mengadakan piket di seluruh negara pada 3 November depan bagi membantah cadangan pindaan Akta Pekerjaan yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lalu.

Kali terakhir MTUC berpiket adalah pada 2007 mengenai isi gaji minimum di sektor swasta.

Artikel Sebelum

Artikel Lain