suria

Program Usahawan Kecil Dinamik Beri Nafas Baru Kepada Peniaga Kecil-Kecilan

Mohd Shafie (dua, kiri) sempat berkata sesuatu kepada salah seorang usahawan yang menerima pinjaman ketika Majlis Pelancaran Program UK Dinamik baru-baru ini.
Mohd Shafie (dua, kiri) sempat berkata sesuatu kepada salah seorang usahawan yang menerima pinjaman ketika Majlis Pelancaran Program UK Dinamik baru-baru ini.
Mohd Shafie (dua, kiri) sempat berkata sesuatu kepada salah seorang usahawan yang menerima pinjaman ketika Majlis Pelancaran Program UK Dinamik baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Program Usahawan Kecil Dinamik (UK Dinamik) yang baru dilancarkan oleh kerajaan pada 29 September lalu telah memberi nafas baru kepada para usahawan kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui bantuan pinjaman kewangan yang tidak membebankan.

Pinjaman tanpa faedah di antara RM5,000 hingga RM10,000 itu dikeluarkan menerusi Majlis Amanah Rakyat atau MARA dengan kerjasama Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) .

Dengan hanya mengisi sehelai borang dan mengikut prosedur tidak membebankan, pemohon yang terdiri daripada ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) yang layak akan diberi pinjaman dengan kadar segera tanpa perlu menyertakan pelbagai dokumen yang menyusahkan.

Bantuan melalui persatuan

“Ini kali pertama saya buat pinjaman untuk tujuan perniagaan. Bukan tak terfikir untuk meminjam, tapi bila fikir tentang karenah dan prosedur, saya terpaksa batalkan niat tersebut,” kata salah seorang penerima pinjaman untuk program ini, Norlita Abd Aziz, 41, ketika ditemui mStar Online.

Norlita yang mengusahakan butik pakaian di ibu kota berkata dia mengetahui tentang kemudahan program ini melalui persatuan.

“Memang saya sedang merancang untuk berniaga kain pasang dan perlukan modal. Maklumlah, sudah sepuluh tahun saya buka butik tentulah saya mahu lebarkan perniagaan saya.

“Bila dapat tahu tentang program ini, saya terus isi borang. Ketika ditemuduga, tanpa segan-silu saya beritahu mereka tentang rancangan saya,” kata ibu kepada tiga anak ini.

Bagaimanapun, dia tidak menyangka mendapat kelulusan segera dan mendapat pinjaman penuh seperti yang dipohon.

Wang RM10,000 yang diperolehinya akan digunakan untuk membeli kain pasang dan dijadikan modal pusingan.

“Dalam keadaan kita memerlukan duit siapa yang tak gembira bila ada pihak sudi membantu. Peluang yang diberikan ini saya anggap satu langkah terbaik untuk usahawan kecil lebih maju,” ujarnya.

Usaha kerajaan membantu usahawan kecil turut disambut baik oleh Norizan Mohd Noor, 46.

“Bila ada peluang macam ini, jangan pula dilepaskan. Tapi, mereka yang menerima duit itu haruslah menggunakannya untuk tujuan perniagaan,” katanya yang membuka kedai jahitan di sini.

Sebagai ibu tunggal, Norizan berkata program yang diperkenalkan ini sangat bermanfaat untuk dirinya yang menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Sebelum ini saya menjahit di rumah. Bila dapat pinjaman bank, saya buka kedai sendiri,” jelasnya lagi. Tambahnya, sepanjang tiga tahun mengusahakan kedai jahitan, dia sentiasa berfikir bagaimana cara untuk memajukan perniagaan.

“Macam-macam idea dalam kepala saya. Saya nak buat baju ‘siap-pakai’ dan lengkapkan peralatan menjahit. Tapi hasrat itu terpaksa saya pendam dahulu kerana tak cukup modal,” katanya.

Justeru, tidak hairanlah Norizan begitu gembira apabila mendapat tahu permohonannya diluluskan.

“Saya minta RM10,000, tetapi dapat RM6,000. Kalau diikutkan memang tak cukup, tapi lebih baik daripada tak ada langsung,” ucapnya ikhlas.

Tak membebankan

Impian Mohd Muhaimin untuk menambah sebuah lagi mesin jahit dan menyediakan perkhidmatan sewa baju pengantin bakal tercapai apabila dia menerima pinjaman sebanyak RM5,000 di bawah program UK Dinamik ini.

“Sudah lebih setahun saya jadi tukang jahit. Sudah sampai masanya saya melangkah lebih jauh dalam bidang ini. Saya tak mahu berada di tahap yang sama selamanya,” katanya.

Mohd Muhaimin yang sebelum ini mengambil upah menjahit di rumah bersyukur kerana mampu membuka perniagaan sendiri di Medan MARA, Kuala Lumpur.

Sebagai seorang yang optimis, dia sentiasa mengintai peluang yang membolehkan diri dan perniagaannya dikenali ramai.

“Bila dapat tahu tentang program ini, saya tak teragak-agak isi borang sebab saya memang perlukan duit. Begitu juga kawan-kawan lain. Kami anggap peluang ini tidak patut disia-siakan,” katanya.

Tawaran ini menjadi begitu menarik bagi Mohd Muhaimin dan rakan-rakan kerana ia tidak membebankan.

“Tiada faedah dikenakan. Rasanya tak ada masalah untuk kami semua membayar balik nanti. Lagipun peminjam diberi pilihan sama ada mahu bayar sebulan sekali atau dua minggu sekali,” katanya.

Tingkatkan jumlah pinjaman

Nurfatihah Mohd Nadzri, 31, tidak menyangka permohonan pinjamannya mendapat kelulusan dalam masa yang singkat.

“Kalau bercakap tentang pinjaman, memang agak memeningkan kepala saya. Banyak dokumen yang diminta dan prosesnya begitu lama. Bagi usahawan kecil macam saya, ini semua merupakan satu halangan.

“Disebabkan itu saya tak pernah buat pinjaman bank untuk berniaga,” ujar wanita dari Kedah ini.

Nurfatihah berkata, sepanjang menjalankan perniagaan dia pernah membuat pinjaman sebanyak RM9,000 melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) kerana kadar faedah yang rendah berbanding pinjaman bank.

Namun, di bawah program ini Nurfatihah mendapat pinjaman sebanyak RM8,000.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan program ini. Jika semua peminjam tak liat membayar balik pinjaman, saya harap kerajaan dapat menaikkan jumlah pinjaman dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain