suria

Polis Kedah Sedang Kesan Seorang suspek Kes Bunuh

LANGKAWI: Polis Kedah masih mengesan seorang lagi suspek yang dikehendaki berikutan kematian seorang lelaki di sebuah apartment di Jalan Ulu Melaka, Ayer Hangat di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata lelaki itu dikenali sebagai T.Royster dan alamat terakhirnya di No.66 Tawas Baru Utara, Taman Tasik Mewah, Ipoh, Perak, sedang dicari pihak polis untuk membantu siasatan.

Beliau berkata gambar lelaki berkenaan juga sedang diedar oleh pihak polis.

"Sehingga kini polis berjaya menahan enam orang suspek termasuk dua lelaki dan empat wanita berumur antara 17 sehingga 69 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Langkawi di sini, Selasa.

Beliau berkata polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver Specialist bersama beberapa butir peluru yang dibalut dengan tuala serta wang tunai sebanyak RM8,500 dan satu gari ditanam di kawasan apartment itu.

"Polis juga percaya kes ini berpunca atas dasar tidak puas hati dengan pembahagian wang yang mereka perolehi dalam kegiatan jenayah mereka," katanya.

Dalam kejadian 2 Oktober lalu, K. Mohan, 31, ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala di sebuah apartment sewa di pulau peranginan ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain