suria

Pengarah Syarikat Didakwa Guna Tiga Cek Palsu

SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menggunakan tiga cek palsu bernilai RM246,433 tahun lepas.

Lee Poh Wah, 41, dari Kajang dituduh menggunakan tiga cek Public Bank Bhd masing-masing bernilai RM82,000, RM82,000 dan RM82,433 di Public Bank cawangan Taman Taming Jaya, Balakong, Selangor, yang beliau mempunyai asas mempercayai dokumen yang digunakannya itu palsu pada 10 Mac 2010.

Dia didakwa mengikut Seskyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Fara Wahida Mt Nur menawarkan jaminan RM100,000 kepada tertuduh tetapi peguam yang mewakili Lee, Jeremy Tan memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000.

Tan berkata ini kerana tertuduh pernah dihadapkan ke mahkamah sama atas kesalahan pecah amanah dan menggunakan cek palsu serta telah diikat jamin RM50,000 dan pasport antarabangsanya sudah diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Mohd Fadhir Harun membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 November depan bagi sebutan semula kes. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain