suria

Pembangkang Mohon Tangguh Sidang Dewan Rakyat Pada 25 Oktober

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran pada Selasa memohon pertimbangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz agar tidak diadakan persidangan Dewan Rakyat pada 25 Oktonber ini berikutan perayaan Deepavali pada 26 Oktober.

Menurut beliau, sekiranya persidangan Dewan Rakyat diteruskan seperti yang dijadual, ia akan menyukarkan ahli Parlimen terutamanya yang beragama Hindu untuk membuat persediaan menyambut perayaan tersebut.

"Jika Parlimen bersidang pada 25 Oktober, ia menyukarkan ahli Parlimen berbangsa India kerana pada hari itu iaitu sehari sebelum perayaan, penganut Hindu akan bersembahyang," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini.

Selain itu menurutnya, keadaan trafik yang dijangka sesak pada 25 Oktober juga akan menyukarkan ahli Parlimen untuk pulang ke kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, ahli Parlimen DAP itu berkata beliau juga akan menyuarakan permohonan tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Artikel Sebelum

Artikel Lain