suria

Pemandu Lori Dipenjara Enam Setengah Tahun Sebabkan Kematian Jiran

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dihukum penjara enam setengah tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Selasa selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kematian jirannya di sebuah rumah di Bandar Baru Sentul, di sini tahun lepas.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu selepas M. Seldas, 52, membuat pengakuan salah terhadap pertuduhan pindaan iaitu menyebabkan kematian yang dibacakan dalam bahasa Tamil.

Beliau memerintahkan bapa kepada tiga anak itu menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 28 April 2010.

Seldas yang diwakili peguam bela Rajpal Singh mengaku menyebabkan kematian Cheong Sin, 51, di hadapan rumahnya di Bandar Baru Sentul, pada 1 pagi, 28 April 2010.

Sebelum ini, tertuduh dan anak lelakinya, S. Edwinmaranda didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh mangsa. Bagaimanapun, mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua-dua beranak daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Seldas kemudiannya didakwa menyebabkan kematian mangsa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam prosiding perbicaraan sejak 4 Julai lalu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain