suria

MTUC Akan Berpiket Di Seluruh Negara Pada 3 November

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan berpiket di seluruh negara pada 3 November untuk membantah cadangan pindaan Akta Pekerjaan yang diluluskan Dewan Rakyat minggu lepas, kata presidennya Mohd Khalid Atan.

Beliau berkata keputusan untuk berpiket di seluruh negara diputuskan malam tadi pada mesyuarat yang dihadiri wakil-wakil dari lebih 100 kesatuan.

"Kita putuskan untuk berpiket di seluruh negara kerana Kementerian Sumber Manusia berkeras untuk meneruskan pindaan itu walaupun kita minta ditangguhkan agar lebih banyak perbincangan boleh dibuat mengenai perkara itu," katanya ketika dihubungi Selasa.

Katanya MTUC membantah dengan kerasnya pindaan itu dan telah menghantar surat meminta menangguhkan pindaan tersebut kepada Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam pada mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Negara (NLAC) 3 Oktober sebelum kira-kira 200 anggota MTUC berpiket di luar Parlimen hari itu.

"Ramai pekerja dan pemimpin kesatuan tidak berpuas hati dengan kementerian itu yang tidak menghiraukan bantahan kita terhadap cadangan pindaan tersebut dan meneruskan pembentangan. Sehubungan itu, kita putuskan untuk mengadakan piket bagi menunjukkan betapa kita tidak puas hati," tambah beliau.

Mohd Khalid berkata MTUC akan juga menulis surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatakan alasan mereka menolak pindaan itu.

Antara bantahan ialah kesatuan sekerja mendakwa pindaan itu membenarkan penggunaan syarikat menyumberan.

Selain itu, MTUC juga mahu cuti bersalin dinaikkan dari 60 hari ke 90 hari dan peraturan mengenai gangguan seksual tidak terdapat dalam pindaan terkini.

Bagaimanapun, Dr Subramanian ketika membentangkan pindaan itu minggu lepas, menerangkan pendirian kerajaan dalam memasukkan peruntukan yang menghendaki pendaftaran kontraktor buruh.

Beliau berkata memasukkannya bukan untuk menggalakkan penyumberan buruh seperti yang dikhuatiri MTUC, tetapi bagi memastikan perlindungan bagi hak-hak pekerja yang dibekalkan oleh kontraktor khasnya dalam sektor perladangan.

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pekerjaan (Pindaan), yang mengandungi 22 pindaan dan 17 peruntukan baru dengan dua seksyen dimansuhkan pada 6 Oktober. Rang Undang-undang itu dijadual dibentangkan Di Dewan Negara pada persidangan Disember ini.

Kali terakhir MTUC berpiket ialah pada 2007 mengenai isi gaji minimum di sektor swasta. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain