suria

Kerajaan Akan Gubal Akta Profesion Guaman Syarie

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggubal Akta Profesion Guaman Syarie bagi memartabatkan kedudukan profesion kepeguaman syarie dan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan dan kehakiman Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, pada masa sekarang penelitian berhubung penggubalan akta tersebut sedang diperhalusi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Jakim dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Persatuan Guaman Syarie sedang membuat kajian bagi merealisasikan hasrat mewujudkan undang-undang tersebut," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) pada sesi soal jawab lisan yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bersetuju menggubal Akta Profesion Guaman Syarie dalam masa terdekat di peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut Mashitah berkata, konsep asas bagi pewujudan akta tersebut sedang ditelili bagi memastikan undang-undang yang akan digubal itu lengkap dan komprehensif.

"Ia juga perlu diteliti agar mematuhi jadual pembahagian bidang kuasa antara kerajaan Persekutuan dengan pihak berkuasa agama negeri-negeri," katanya.

Dalam pada itu, Mashitah memberitahu Dewan Rakyat bahawa peguam bukan Islam tidak dibenarkan bertugas sebagai peguam di Mahkamah Syariah.

"Bukan sahaja kelayakan yang diperlukan oleh peguam syarie, tapi syarat pertama ialah dia mestilah seorang Islam.

"Peguam bukan Islam boleh beramal di mahkamah sivil," katanya bagi menjawab soalan tambahan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan menggubal apa-apa peruntukan bagi membolehkan peguam bukan Islam berkhidmat di Mahkamah Syariah.

Artikel Sebelum

Artikel Lain