suria

Kastam Patahkan Cubaan Seludup Minuman Keras Dan Rokok

KANGAR: Kastam Perlis menumpaskan cubaan menyeludup minuman keras dan rokok apabila menahan dua lori di Changlon, Kedah Ahad lepas.

Pengarah Kastam Perlis Mohd Pudzi Man berkata rampasan membabitkan barangan bernilai RM59,028.50 dan cukai yang dielakkan bernilai RM126,11924 itu dilakukan antara pukul 10.50 malam dan 11.05 malam.

Beliau berkata berdasarkan maklumat awam, anggota bahagian penguatkuasaan Kastam Perlis membuat intipan di kawasan yang dipercayai menjadi laluan penyeludup dan mengesan sebuah lori yang mencurigakan di Kampung Darat, Changlon.

"Setelah mengejar dan menahan lori yang sedang menghala arah Jitra itu, Kastam menemui 450 tong minuman keras pelbagai jenama dan 300 kartun rokok putih berjenama Luffman yang tertera tulisan 'Malaysia Duty Not Paid'.

"Nilai minuman keras itu diangarkan RM27,349.20 dan duti yang sepatut dibayar kepada kerajaan sebanyak RM47,721.49 manakala rokok trbabit bernilai RM3,600 dan cukai yang dielakkan sebanyak RM24,876," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Selasa.

Beliau berkata pihaknya turut menahan pemandu kenderaan itu berusia 28 tahun untuk membantu siasatan.

Mohd Pudzi berkata sebuah lagi lori dikesan di Kampung Binjal, Changlun dan selepas dikejar, kenderaan itu terbabas ke dalam parit manakala pemandunya melarikan diri.

Hasil pemeriksaan, Kastam menemui 438 tong minuman keras pelbagai jenama serta 25 kotak minuman keras berjenama Black Label yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM28,109 dan nilai cukai yang sepatut dibayar sebanyak RM53,521.75, katanya.

Beliau berkata kedua-dua lori itu memasuki negara ini melalui Bukit Kayu Hitam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain