suria

Urus Niaga Maxis Di India Curi Perhatian Media

CHENNAI: Biro Siasatan Pusat India (CBI) dilaporkan telah memfailkan laporan maklumat awal ke atas satu urus niaga yang melibatkan taikun Malaysia dan pemilik rangkaian telekomunikasi Maxis, T. Ananda Krishnan, Eksekutif Kanan Maxis Ralph Marshall, bekas Menteri Telekom India, Dayanidhi Maran dan tiga syarikat yang lain.

Kes ini dikatakan ada kaitan dengan urusniaga Aircel-Maxis, demikian menurut laporan media dari India, Isnin.

Menurut laporan itu lagi, CBI turut memfailkan kes yang sama ke atas seorang saudara kepada Maran bernama Kalanidhi manakala tiga syarikat yang disebut dalam kes itu ialah Aspro, Maxis dan Sun TV.

Kes ini dikaitkan dengan konspirasi jenayah perdagangan di bawah Akta Pencegahan Rasuah.

Jurucakap CBI,Dharini Mishra dipetik oleh media India sebagai berkata, CBI telah membuka fail ke atas adik beradik Maran, Ralph Marshall dan T Anandkrishnan serta tiga syarikat pada 9 Oktober lalu.

Bekas Ketua Eksekutif Aircel, C. Sivasankaran dikatakan telah mendakwa, Maran yang ketika itu merupakan menteri telekom cenderung menyokong Kumpulan Maxis untuk mengambil alih syarikatnya dan sebagai balasan membuka laluan kepada syarikat itu untuk melabur di dalam Sun TV melalui Rangkaian Astro.

Sun Tv merupakan stesen milik keluarga Maran.

Menurut CBI, selepas Aircel dijual kepada Maxis, satu pelaburan telah dibuat oleh firma dari Malaysia itu di dalam bisnes milik keluarga Maran.

Maran bagaimanapun telah menafikan sebarang salah laku di dalam urusniaga tersebut.

Sivasankaran mendakwa, beberapa permohonannya untuk memperolehi lesen telah ditolak ketika Maran menjadi menteri telekom pada tahun 2006, yang merupakan satu taktik untuk memaksanya menjual syarikatnya itu kepada Maxis.

Hanya selepas penjualan itu berlaku barulah Maran dikatakan memberi kelulusan sebanyak 14 lesen kepada Dishnet Wireless (Aircel).

Dalam konteks ini, CBI dikatakan sedang melihat bagaimana urusniaga Sun TV dan Maxis termasuklah pengambilalihan Aircel oleh Kumpulan Maxis group dilakukan, demikian menurut satu sumber lain.

Sementara dalam perkembangan berkaitan, Kumpulan Maxis telah mengeluarkan satu kenyataan berikut kepada Bursa Malaysia:

"Maxis Berhad (“Maxis') merujuk kepada laporan media Isnin yang menyatakan CBI India telah memfailkan "a First Information Report (“FIR”) atau Laporan Maklumat Awal, bagi membolehkan satu siasatan rasmi berhubung antara lain, pembelian oleh Maxis Communications Berhad (“MCB”) ke atas Aircel Limited (“Aircel'), India pada 2006.

"Media massa telah melaporkan bahawa FIR telah menamakan MCB dan Augustus Ralph Marshall, yang juga merupakan pengarah Maxis dan MCB. MCB adalah pemegang saham utama dalam Maxis.

"MCB pula memiliki 74% kepentingan dalam Aircel.

"Laporan FIR itu walau bagaimanapun tidak mempunyai sebarang impak ke atas Maxis Berhad (“Maxis”), iaitu entiti yang disenaraikan di Bursa Malaysia."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain