suria

Tiga Maut, Dua Parah Dalam Kemalangan Berasingan Di Pahang

KUANTAN: Tiga maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan berasingan di Pahang, Ahad.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam satu kemalangan pada 4.10 petang, seorang wanita maut selepas keretanya terbabas sebelum terbalik di Kilometer (KM) 186.2 Lebuhraya Pantai Timur dekat Maran.

Beliau berkata ketika kejadian, mangsa, Nurul Hana Jalaludin, 22, dari Parit Buntar, Perak bersama rakannya, Siti Fatimah Rani, 23, dari Jerantut sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menuju ke Kuantan.

"Sampai di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Persona yang dipandu Nurul Hana tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan menyebabkan keretanya terbalik beberapa kali sebelum berhenti di bahu jalan," katanya ketika ditemui di sini, Isnin.

Katanya ekoran daripada kejadian itu, Nurul Hana tercampak keluar daripada kenderaan dan jatuh ke dalam longkang sebelum meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan mangsa mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang pemandu jip, Azhar Mohamad, 23, dari Dungun, Terengganu maut manakala rakannya, Mohd Zahari Zakaria, 28, dari Felda Chini, Pekan cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di KM62 Jalan Ibam-Rompin.

Mohamed Fauzi berkata dalam kejadian pada 1 petang itu, kenderaan mangsa dari arah Muadzam Shah menuju ke bandar Rompin dipercayai terbabas selepas mengelak sebuah motosikal sebelum merempuh sebatang pokok di bahu jalan menyebabkannya terbalik dan terjatuh di kawasan curam.

Dalam satu lagi kemalangan, seorang remaja, R. Monikah Raj, 18, maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta di KM142 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh.

Katanya dalam kejadian pada 1 pagi itu, mangsa dipercayai gagal mengelak sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang membelok ke kanan.

Katanya kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain