suria

Semua Projek Pembangunan Sarawak Akan Dilaksanakan - Douglas

KAPIT: Semua projek pembangunan yang dijanjikan kepada Sarawak oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin terutamanya pada pilihan raya negeri Sarawak April lepas atau terdahulu dari itu, akan dilaksanakan.

Ketika memberi jaminan itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata orang ramai tidak seharusnya mendengar tuduhan liar yang mendakwa perkara sebaliknya, bertujuan semata-mata untuk memburuk-burukkan kedua-dua pemimpin berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mendengar taklimat kemajuan lima projek utama yang dijanjikan kerajaan kepada Bahagian Kapit.

Projek itu adalah Jalan Kapit/Song (sebahagian daripada Jalan Kapit/Kanowit) bernilai RM90 juta dan Jalan Pekan Belaga/Bakun (RM62 juta), dewan orang ramai Kampung Muhibah (RM2 juta), kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Kapit (RM50 juta) dan Rumah Urus Mayat Cina Kapit (RM1 juta).

Beliau berkata pembinaan Jalan Kapit/Song yang amat dinanti-nantikan oleh penduduk, akan bermula dari sini dan tender akan ditawarkan menjelang November ini untuk pembinaan fasa pertama sepanjang 2.6 kilometer ke Sungai Yong.

Projek lain, katanya turut dilaksanakan pada masa ini sungguhpun sedikit terjejas akibat beberapa masalah yang memperlahankan kemajuannya.

Uggah berkata Najib dan Muhyiddin merupakan pemimpin yang sentiasa berpegang kepada janji dan mereka sangat komited untuk mentransformasi kawasan luar bandar di negeri ini menjadi kawasan yang berkembang maju menjelang tahun 2020.

"Sebagai contoh, saya dilantik untuk memantau pelaksanaan semua projek yang dijanjikan di Sarawak dan membantu menyelesaikan apa jua masalah yang mengakibatkan kelewatan projek.

"Saya harap saya akan mendapat sepenuh kerjasama dan komitmen daripada semua pihak, merangkumi pemilik tanah hinggalah kepada kontraktor," katanya.

Uggah berkata semua projek pembangunan luar bandar bermatlamat meringankan beban yang ditanggung rakyat dan lebih cepat projek itu disiapkan, maka lebih cepat bebanan itu dapat diatasi.

Katanya Barisan Nasional adalah parti yang berupaya menunaikan janji dan berkhidmat kepada rakyat, tidak seperti pembangkang yang hanya sekadar manis di bibir. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain